SHAH ALAM - Polis menyiasat kesahihan gelaran Datuk seorang ahli perniagaan yang ditahan bersama anaknya untuk siasatan eksploitasi dua amah warga Indonesia.Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, rujukan perkara itu akan dibuat pada Isnin kepada pihak berwajib."Berhubung gelaran Datuk, ia masih dalam siasatan polis."Reman tiga hari kedua-dua susek telah tamat hari ini (Ahad) dan mereka telah diberi jaminan polis," katanya pada Ahad.Tambah Ramsay, kedua-dua mangsa wanita berusia 33 dan 48 tahun yang diselamatkan itu kini telah ditempatkan di rumah perlindungan untuk tindakan lanjut.Sinar Harian sebelum ini melaporkan penahanan dua beranak merupakan wanita berusia lingkungan 30 dan 50-an selepas diserbu polis di sebuah rumah di Kayangan Heights, Shah Alam pada 18 Disember lalu.Hasil temu bual pihak polis dengan mangsa pertama memberitahu telah bekerja selama dua tahun, manakala seorang lagi bekerja selama sebulan dengan majikan mereka.Mangsa juga mendakwa telefon bimbit dan pasport mereka telah dirampas oleh majikan, dipaksa bekerja lebih masa serta sering dipukul selain tidak dibayar gaji sejak dua bulan yang lalu.Kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.