Memelihara warisan, membina masa depan

KUALA LUMPUR – Di tengah pesatnya pembangunan bandar raya Kuala Lumpur, sejumlah bangunan lama yang pernah menjadi nadi pentadbiran dan diplomasi negara kini berdiri dalam keadaan uzur dan terpinggir.Jika tidak dipulihara segera, struktur- struktur ikonik yang menjadi saksi pembentukan negara bangsa berisiko lenyap daripada landskap ibu kota.Menyedari kepentingan ini, kerajaan menggerakkan usaha bersepadu bersama agensi persekutuan dan negeri, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), rakan sektor swasta serta komuniti untuk mengembalikan semula denyut nadi sejarah kota.Usaha ini dilaksanakan di bawah inisiatif nasional memperbaharui bandar raya iaitu Warisan KL, satu agenda yang mencerminkan komitmen negara terhadap inovasi, pembangunan inklusif dan pemeliharaan identiti.Diterajui dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, WarisanKL menyatukan pelbagai pihak untuk membentuk Kuala Lumpur sebagai mercu warisan, budaya dan kreativiti negara, sekali gus membuka ruang pekerjaan baharu, menarik lebih ramai pengunjung dan menggalakkan pelaburan.Pada pelancarannya April lalu, Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangunan Kuala Lumpur sebagai kota moden berteknologi tinggi mesti berjalan seiring dengan pemeliharaan rakyat, warisan dan nilai budaya.Kuala Lumpur, katanya, tidak boleh kehilangan jati diri dalam mengejar pemodenan.Seri Negara: Aset warisan dan sejarah di Bukit CarcosaKhazanah Nasional Berhad (Khazanah) dipertanggungjawabkan dengan projek pemuliharaan lapan tapak bersejarah di Kuala Lumpur iaitu Seri Negara dan Carcosa, serta Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad yang terdiri daripada Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Pejabat Pos Besar Lama, Bangunan Panggung Bandaraya, Bangunan Mahkamah Tinggi Lama, Muzium Tekstil Negara dan Bangunan Pejabat Ukur FMS Lama.Sebuah jambatan penghubung yang mengukuhkan jaringan pejalan kaki antara Dataran Merdeka, Tasik Perdana dan zon Warisan KL juga akan dibina sekali gus mewujudkan jajaran warisan yang lebih tersusun dan mudah diakses.Seri Negara, sebuah struktur kolonial yang menyimpan pelbagai lapisan sejarah negara, terletak di Bukit Carcosa dan menghadap Taman Tasik Perdana yang dahulunya dikenali sebagai King’s House.Ia dibina pada awal abad ke-20 sebagai rumah tetamu rasmi pentadbiran British.Ia pernah menempatkan pegawai tinggi, pembesar luar negara dan tokoh yang memainkan peranan besar dalam perjalanan politik Tanah Melayu.Malah sebelum kemerdekaan, ia menjadi lokasi rundingan diplomatik serta perbincangan dasar yang membentuk struktur pentadbiran negara moden.Namun, seperti banyak bangunan warisan lain, perkembangan pesat Kuala Lumpur menyebabkan Seri Negara terpinggir.Selama beberapa dekad, ia mengalami kerosakan struktur, keusangan bahan binaan dan kekurangan penyelenggaraan.Jika dibiarkan, ia berisiko mengalami nasib sama seperti bangunan bersejarah lain yang telah lenyap dari ibu kota.Menyedari hakikat ini, Seri Negara telah menjadi aset warisan pertama yang berjaya dipulihara oleh Khazanah dalam tempoh hanya 10 bulan.Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pelaburan itu mencerminkan komitmen jangka panjang Khazanah dalam memelihara khazanah warisan negara dan memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang meraikan sejarah serta masa depannya."Pelaburan Khazanah dalam pemuliharaan lapan tapak warisan ini mencerminkan komitmen dalam memelihara khazanah warisan bangsa untuk dinikmati bersama oleh rakyat serta meningkatkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu kota yang terus berkembang sebagai metropolis moden yang tetap berakar pada sejarah, warisan dan jiwa asalnya," katanya.Menurut Amirul Feisal lagi, pendekatan itu berasaskan penciptaan nilai jangka panjang dan kesan berganda terhadap sektor pelancongan, hospitaliti serta pemuliharaan aset bersejarah.Ia bukan sekadar mengekalkan estetika, tetapi sekali gus mampu menarik minat pelaburan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat tempatan.Seri Negara kini ruang inklusifSetelah dibuka oleh Anwar pada 15 Disember lalu, Seri Negara kini membuka tirainya untuk kunjungan orang ramai.Seri Negara akan menempatkan Galeri Seri Negara yang meraikan perjalanan negara menuju kemerdekaan dan bertujuan mendidik orang ramai mengenai tempoh bermakna dalam sejarah Malaysia.Turut disediakan ialah sebuah kafe dan restoran yang menawarkan pengalaman menjamu selera yang bernostalgia, mencerminkan keindahan warisan Seri Negara di samping meraikan kepelbagaian hidangan terbaik Malaysia.Sebagai bangunan berstatus Warisan Negara, pengunjung perlu mendaftar melalui program Sahabat Seri Negara untuk melawat Galeri Seri Negara.Pendaftaran boleh dibuat melalui www.serinegara.com.my dan pengunjung boleh memilih slot masa yang diingini.Warisan sebagai milik rakyatBangunan-bangunan sejarah dan warisan seperti Seri Negara, Carcosa, Bangunan Sultan Abdul Samad dan yang lain bukan sekadar monumen fizikal.Ia adalah ruang pembelajaran dan cerminan perjalanan negara.Pembukaannya semula kepada umum membolehkan warisan dihayati lebih dekat oleh rakyat dan naratif perjalanan negara lebih difahami oleh warga luar negara.Pelajar dan penyelidik boleh menjalankan pembelajaran berasaskan pengalaman, penggiat seni dan budaya dapat memanfaatkan ruang ini untuk program kreatif yang mencerminkan identiti Malaysia, manakala pelancong domestik dan antarabangsa memperoleh pengalaman autentik tentang sejarah Kuala Lumpur.Pendek kata, warisan hanya hidup apabila ia dapat diakses dan dimanfaatkan oleh rakyat.