Pencapaian Malaysia di Sukan SEA Thailand sederhana - Penganalisis

PENCAPAIAN kontinjen negara menamatkan Sukan SEA Thailand 2025 di kedudukan keempat keseluruhan dengan kutipan 57 pingat emas tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan angka sebaliknya perlu dilihat secara lebih kritikal daripada pelbagai sudut.Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, kejayaan mengatasi Singapura yang meraih 52 pingat emas wajar diberi pengiktirafan, khususnya apabila Malaysia berjaya mengumpul keseluruhan 231 pingat dan melepasi sasaran awal 200 pingat.Bagaimanapun, beliau berpandangan sasaran tersebut sebenarnya terlalu rendah dan mudah dicapai kerana tidak mengambil kira beberapa faktor penting termasuk pertambahan bilangan acara dan pingat yang dipertandingkan di Thailand."Secara keseluruhan, saya tidak terkejut dengan jumlah pingat yang diperoleh kerana sasaran yang ditetapkan sebelum temasya bermula tidak dinamik dan tidak progresif," katanya.Mengulas perbandingan dengan edisi terdahulu, Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM menjelaskan pencapaian di Thailand adalah lebih baik berbanding Sukan SEA Vietnam 2021 dan Kemboja 2023, namun masih belum boleh dianggap sebagai prestasi terbaik kontinjen negara di luar Kuala Lumpur.Menurut beliau, pencapaian di Korat pada 2007 kekal lebih bermakna apabila Malaysia muncul naib juara keseluruhan dengan 68 pingat emas walaupun hanya 477 emas dipertandingkan menerusi 43 sukan."Kontinjen kita juga jauh lebih kecil iaitu 439 atlet berbanding Thailand 2025 yang menyaksikan 574 pingat emas ditawarkan dalam 50 acara sukan dan kontinjen kita jauh lebih besar hampir tiga kali ganda."Dengan konteks itu, kedudukan keempat dengan 57 emas kali ini lebih mencerminkan ia sebenarnya adalah pencapaian sederhana, kita tak boleh bandingkan guna asas epal dengan epal, katanya.Dari sudut pembangunan atlet, Pekan menegaskan kejayaan di Thailand tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan keberkesanan program jangka panjang, kecuali dalam beberapa sukan tertentu seperti sepak takraw, Muay Thai dan berbasikal trek yang menunjukkan kesinambungan prestasi.Sebaliknya, beliau menyifatkan pencapaian dalam sukan utama penyumbang pingat seperti olahraga dan renang masih mengecewakan dan tidak menunjukkan peningkatan ketara."Saya tidak pasti program apa yang benar-benar berkesan untuk meningkatkan prestasi dalam sukan-sukan ini," katanya.Beliau turut mengingatkan agar kualiti pingat tidak dijadikan ukuran mutlak peningkatan prestasi kerana terdapat beberapa faktor luaran yang menyumbang kepada pungutan pingat negara.Antaranya termasuk pertambahan jumlah sukan yang dipertandingkan, penghantaran kontinjen terbesar negara melibatkan hampir 1,200 atlet, penyertaan atlet terbaik dalam hampir semua acara serta penarikan diri Kemboja pada saat akhir yang mempengaruhi pengagihan pingat.Selain itu, Pekan berkata, hampir separuh pingat gangsa yang dimenangi diperoleh menerusi format perkongsian automatik tanpa perlawanan penentuan, berbeza dengan Sukan Asia dan Sukan Olimpik yang mewajibkan perebutan pingat gangsa.Jika semua pingat gangsa dipertandingkan sepenuhnya, beliau percaya jumlah pungutan pingat negara mungkin lebih rendah.Dalam pada itu, Pekan menegaskan cabaran terbesar kontinjen negara bukan sekadar soal pencapaian, tetapi melibatkan aspek sikap dan kawalan emosi atlet serta pegawai.Beliau berpandangan terdapat situasi di mana semangat juang atlet seolah-olah tidak mencerminkan reputasi dan kedudukan ranking mereka berbanding pesaing serantau, sekali gus memberi kesan terhadap imej sukan negara di pentas Asia Tenggara.