BINTANG Liverpool, Mohamed Salah didesak untuk membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataan pedasnya yang telah mencetuskan kekecohan dalam dunia bola sepak Inggeris baru-baru ini.Gesaan tersebut hadir selepas bekas pertahanan Manchester City yang juga penganalisis bola sepak, Nedum Onuoha menyifatkan permohonan maaf secara tertutup yang dilakukan bintang Mesir itu kepada rakan sepasukan masih belum mencukupi untuk menjernihkan keadaan.Salah sebelum ini mengejutkan peminat The Reds selepas perlawanan seri 3-3 menentang Leeds United apabila mendakwa kelab itu telah menganiayanya.Dalam insiden tersebut, Salah yang berang selepas digugurkan daripada kesebelasan utama buat kali ketiga berturut-turut oleh pengurus Arne Slot, turut mendakwa hubungannya dengan pengendali dari Belanda itu telah retak sepenuhnya.Susulan konflik itu, Slot bertindak menyisihkan Salah daripada skuad ketika kemenangan 1-0 menentang Inter Milan dalam aksi Liga Juara-Juara. Bagaimanapun, Salah kembali disenaraikan di bangku simpanan ketika Liverpool menewaskan Brighton 2-0, di mana beliau menyumbang bantuan gol (assist) untuk jaringan kedua Hugo Ekitike.Walaupun rakan sepasukan, Curtis Jones mendedahkan Salah telah memohon maaf kepada pemain di bilik persalinan, Onuoha menegaskan bahawa pemain itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan umum."Secara peribadi, saya mahu Mohamed Salah sendiri tampil dan memohon maaf, bukannya orang lain yang mewakilinya untuk memberitahu hal itu."Pada asalnya, dia yang keluar dan membuat kenyataan sehingga mencetuskan isu ini, jadi dia juga mampu untuk tampil dan membuat kenyataan memohon maaf atas kekeruhan yang dibawa kepada kelab," kata Onuoha.Terdahulu, Jones ketika ditemu bual Sky Sports mempertahankan tindakan Salah dan menyifatkan ledakan emosi itu sebagai sebahagian daripada mentaliti elit seorang pemenang."Mo (Salah) adalah dirinya sendiri dan dia berhak menyuarakan pandangannya."Dia telah meminta maaf kepada kami dan berkata, 'Jika saya telah menjejaskan sesiapa atau membuat anda rasa tidak selesa, saya minta maaf'. Itulah sifat sebenar beliau."Dia masih positif, tersenyum lebar dan semua orang melayannya seperti biasa. Saya faham ada cara tertentu untuk menangani sesuatu perkara, tetapi jika pemain itu selesa duduk di bangku simpanan dan tidak mahu membantu pasukan, itu masalah yang lebih besar."Kemarahan yang timbul sentiasa datang dari niat yang baik. Kami kini sudah melupakan hal itu dan pasukan kembali serasi serta mula memenangi perlawanan," ujar Jones.