Mayat wanita dalam beg: Penduduk dakwa suspek sudah berkahwin baharu dengan wanita Sarawak

REMBAU - Penduduk yang tinggal berhampiran lokasi penemuan mayat seorang wanita di dalam beg di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4 di sini, mendakwa ada melihat suspek utama di kawasan itu beberapa hari sebelum kejadian.Lelaki yang dikenali sebagai Rahim, 63, berkata, suspek berusia 51 tahun yang dipanggil 'adik' itu, datang menyapanya di rumah pada 11 Disember lalu."Saya tengah kemaskan pokok di kawasan rumah, tiba-tiba dia datang bersalam dan kami sempat berborak, katanya sudah lama tak jumpa saya."Dia beritahu pulang ke rumah ibunya untuk berkemas kerana rumah itu sudah lama kosong," katanya ditemui Sinar Harian pada petang Ahad.Menurutnya, dia turut bertanya mengenai isteri suspek dan lelaki itu memaklumkan sudah lama berpisah, namun telah berkahwin baharu dengan wanita Sarawak.Ujar Rahim, ketika itu dia sempat mencadangkan kepada suspek supaya membawa isteri tinggal di rumah pusaka ibunya saja, namun suspek memaklumkan isterinya sering 'terbang'."Waktu itu muka suspek biasa saja, tidak kelihatan mencurigakan dan saya sempat bergurau dengannya."Setakat yang saya kenal suspek, dia baik orangnya dan penduduk kampung panggilnya adik kerana dia anak bongsu," ujarnya.Tambahnya, berita mengenai penemuan mayat di rumah terbabit sememangnya mengejutkan penduduk lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan suspek yang peribadinya dikenali sebagai orang baik.Ini kerana katanya, beberapa hari sebelum penemuan mayat tersebut, suspek dilihat minum di sebuah kedai makan berhampiran kolam memancing berhampiran, selain ada meminta sebut harga untuk membuat pagar rumah ibunya."Ada juga penduduk beritahu nampak sebuah kereta Proton Saga FLX di lokasi sekitar jam 8 pagi pada 12 Disember itu, tapi suspek tidak kelihatan."Cumanya yang cerita dia ada berjumpa dengan suspek di kolam untuk bagi sebut harga pagar, tapi suspek kelihatan tergesa-gesa nak pergi," katanya.Rahim berkata, kali terakhir suspek dilihat mempunyai rambut, bukannya botak seperti mana ketika dia direman.Warga emas itu turut memaklumkan yang lokasi penemuan mayat tersebut merupakan rumah arwah kakak suspek manakala rumah ibunya turut berada dekat situ.Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita di dalam beg di rumah terbabit pada 18 Disember lalu dikaitkan dengan seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.Susulan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing di Melaka termasuk suspek di Genting Sempah, Bentong, Pahang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Sehingga kini Identiti wanita itu belum dapat disahkan berikutan keadaan mayat yang sudah mereput dan dipercayai meninggal dunia melebihi tiga hari.