SPTM tingkat kualiti tahfiz negara

BAGAN DATUK – Kerajaan melancarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) sebagai memperkukuh ekosistem sokongan pendidikan tahfiz agar potensi huffaz dimanfaatkan secara optimum.Standard ini berfungsi sebagai mekanisme penilaian holistik meliputi tadbir urus, prasarana, kurikulum, kokurikulum, kualiti guru dan sumber pendidikan.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan SPTM tersebut akan dijalankan secara berperingkat mulai tahun 2026."SPTM mencerminkan komitmen kerajaan memartabatkan pendidikan tahfiz secara lebih tersusun, berstandard dan berkualiti. Ia dibangunkan secara kolaboratif bersama kerajaan negeri, kementerian, agensi Persekutuan, panel pakar serta persatuan tahfiz."Matlamat SPTM adalah untuk memperkasa kualiti pendidikan tahfiz dan menjadi mekanisme pengiktirafan kepada huffaz dan institusi tahfiz," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Himpunan Huffaz 2025 & Simfoni Dakwah Nusantara di Masjid Tuminah Hamidi di sini pada Ahad.Ahmad Zahid turut mengumumkan insentif RM50,000 kepada 10 institusi tahfiz terbaik yang mencapai prestasi cemerlang berdasarkan kriteria SPTM.Jelasnya, pemberian insentif itu sebagai suntikan motivasi agar institusi tahfiz terus meningkatkan kualiti dan amalan terbaik seterusnya diketengahkan sebagai Model Institusi Tahfiz Malaysia."Saya mahu memastikan wujudnya ekosistem pendidikan tahfiz yang menyeluruh dan berperingkat bermula dari Pra-Tahfiz KEMAS, memperkasa kelas KAFA, memperluas laluan di peringkat menengah melalui MRSM Ulul Albab, TVET Tahfiz dan pelbagai lagi inisiatif agar al-Quran terus menjadi teras dalam sistem pendidikan negara."Alhamdulillah, ikhtiar melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang diperkenalkan sekitar tahun 2016 telah mencapai sekitar 84 peratus tahap pelaksanaan di seluruh negara," katanya.Jelasnya, melalui DPTN 1.0, kerajaan memperkukuh instrumen penting termasuk pembangunan Model Pendidikan Tahfiz Malaysia (MPTM) dan pemantapan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 (STM 2.0).Selain itu, dasar tersebut turut mencetuskan pelaksanaan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB), penyediaan Skim Pembiayaan Huffaz (SPH) serta usaha penyetaraan STM dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi melahirkan Huffaz yang berdaya saing, berkemahiran dan relevan dengan keperluan semasa.Pada program berkenaan turut menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian persefahaman (MoU) strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Darul Quran dengan institusi-institusi terpilih sebagai usaha menyediakan laluan pendidikan yang lebih tersusun untuk anak-anak tahfiz melangkah ke peringkat lebih tinggi.Sementara itu, penganjuran himpunan berkenaan mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan Madani dalam memartabatkan al-Quran sebagai asas pembinaan negara.Program bertemakan Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani itu menjadi wadah strategik menghimpunkan kira-kira 25,000 huffaz, pendakwah, asatizah serta penggiat al-Quran dari seluruh negara dan rantau Nusantara.REAKSIPelajar, Muhammad Nur Afiq Mohd Norazman, 14, Madrasah Tahfiz Haji Omar, Tanjung Karang."Saya rasa sangat seronok diberi peluang untuk turut serta dalam program himpunan ini sebab dapat ilmu baru seperti teknik menghafaz selain didedahkan dengan TVET. Saya memang minat nak jadi wireman jadi saya nampak ada peluang kerjaya selepas tamat pengajian di sekolah tahfiz,".Pelajar, Farah Fathiyyah Dzulkifli, 20, Darul Quran JAKIM...................................."Program ini sangat bagus terutama pendedahan mengenai TVET. Rupanya banyak peluang pekerjaan untuk lepasan tahfiz khususnya yang ada sijil TVET. Saya fikir lepas tahfiz boleh mengambil peluang dalam bidang kemahiran,".Pelajar, Jamilatul Aalya Maisara Jamaluddin, 16, Maahad Tahfiz Ar-Rahimiyah, Taiping,......................................"Menariknya program ini peserta dan pengunjung dapat menambah ilmu baru selain bertemu dengan kawan-kawan. Program ini juga menguatkan minat saya untuk menyertai TVET selepas tamat pengajian,".