Paramotor langgar kabel TNB sebelum jatuh 30 meter

MELAKA - Masalah teknikal dikenal pasti sebagai punca sebuah paramotor terlanggar kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum terjatuh ke kawasan sawah di ketinggian 30 meter semasa Program Larian Budaya Antarabangsa Duyung Kita 2025 pada Ahad.Video kejadian berdurasi 18 saat itu tular di media sosial pada hari sama.Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku jam 8.40 pagi di kawasan sawah Kampung Ku Sayang, Bukit Baru.Menurutnya, seramai empat pengendali paramotor dari sebuah kelab di Selangor hadir bersama kelengkapan masing-masing bagi memeriahkan program berkenaan yang dianjurkan di sekitar Stadium Tun Fatimah, Banda Hilir."Ketika kejadian, salah sebuah paramotor yang dikendalikan seorang lelaki mengalami masalah teknikal semasa berada di kawasan bendang sawah."Akibat masalah itu, paramotor berkenaan terlanggar kabel TNB sebelum terjatuh ke dalam sawah dari ketinggian lebih kurang 30 meter," katanya dalam satu kenyataan.Christopher berkata, pemandu paramotor tersebut hanya mengalami luka kecil di bahagian muka selain kerosakan kecil pada peralatan paramotor dan tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada orang awam.Tambah beliau, pihak TNB turut hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan terhadap kabel yang terlibat dan mendapati tiada sebarang kerosakan berlaku."Pihak TNB juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian tersebut," katanya.TNB menerusi kenyataan pada Ahad memaklumkan mengambil maklum berhubung kejadian itu dan tekah memantau keadaan di lokasi."Untuk makluman, insiden ini tidak menyebabkan sebarang gangguan bekalan elektrik kepada pengguna. Kami akan terus memantau keadaan bagi memastikan keselamatan rangkaian elektrik sentiasa terjamin."Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi garis panduan keselamatan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti yang dilarang berdekatan talian penghantaran elektrik melalui https://www.tnb.com.my/transmissionlinessafety," menerusi kenyataan itu dihantaran Facebook.