SHAH ALAM - Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Malaysia menggesa media massa memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam mensejahterakan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia dengan menghormati dasar atau kebijakan kepimpinan kedua-dua negara.Presidennya, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, pelaporan media seharusnya menjurus kepada usaha mengukuhkan hubungan dua hala, selain mengambil kira isu-isu berkepentingan bersama antara dua negara serumpun itu.Menurut beliau, Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang sangat rapat, sama ada di peringkat kepimpinan mahupun rakyat, khususnya ketika berdepan sebarang musibah."Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun. Jika ada negara yang ditimpa musibah, kedua-dua negara akan sentiasa bersama menolong di peringkat kepimpinan dan rakyat."Media pula perlu sentiasa mendokong apa jua usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani segala permasalahan atau isu-isu berkepentingan bersama," ujarnya dalam satu kenyataan, di ibu negara pada Ahad.Mengulas kejadian bencana alam yang berlaku di Pulau Sumatera baru-baru ini serta pendirian Indonesia yang tidak menerima bantuan luar negara, Ahmad Zaini menegaskan media di kedua-dua negara perlu lebih berhati-hati dalam membentuk naratif pelaporan.Beliau berkata pelaporan yang tepat amat penting bukan sahaja bagi memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang benar, malah untuk mengekalkan hubungan baik dan persefahaman antara Malaysia dan Indonesia yang berkongsi sejarah, budaya serta kepentingan strategik serantau."ISWAMI Malaysia sentiasa menghormati segala dasar atau kebijakan (polisi) pemerintah Indonesia."Media Malaysia yang membuat liputan atau laporan berkaitan bencana berkenaan perlu beretika dan prihatin terhadap musibah yang berlaku di Acheh atau beberapa provinsi di Sumatera Utara," ujarnya.Beliau menambah, laporan yang disiarkan perlu bersifat positif dalam usaha bersama menangani isu bencana tersebut tanpa membentuk naratif buruk yang boleh menjejaskan keharmonian hubungan kedua-dua negara.Dalam pada itu, ISWAMI Malaysia yakin semangat ASEAN serta hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan terus memperkukuh hubungan dua negara serumpun itu ke arah saling memahami dan membantu antara satu sama lain.