SHAH ALAM - Rampasan dadah bernilai RM3.1 bilion lebih daripada mencukupi untuk membiayai rawatan penagih di negara ini.Ketua Penasihat Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata, pembiayaan itu meliputi proses rawatan atau pemulihan, makan dan minum serta keperluan penting lain bagi menampung hampir 200,000 penagih direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)."Kalau dengan jumlah duit sangat besar itu, macam-macam kita boleh lakukan untuk membantu penagih di negara ini. Kita boleh buat macam-macam program khas untuk pulihkan mereka termasuk penempatan supaya dapat membantu mereka tinggalkan najis dadah sehinggalah membimbing mereka mendapat peluang pekerjaan."Sebab jumlah RM3.1 bilion sangat besar jika dapat digunakan untuk menyediakan rawatan terbaik bagi memulihkan golongan terjebak dengan gejala penagihan dadah ini."Kalau ditanya untuk menambahkan lagi pusat pemulihan, bagi saya cukuplah kita memanfaatkan sepenuhnya pusat yang ada. Tidak perlu ditambah kerana matlamat kita membasmi dadah dan sepatutnya sasarkan untuk tutup lebih banyak pusat bukan dengan menambahkan lagi jumlahnya," katanya kepada Sinar Harian.Pada Sabtu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lebih 215 tan dadah bernilai RM3.1 bilion dirampas selain lebih 24,000 individu ditahan dalam operasi membanteras jenayah narkotik di seluruh negara bermula Januari hingga 18 Disember tahun ini.Semakan di laman sesawang AADK mendapati, statistik 2024 menunjukkan seramai 192,857 orang direkodkan terlibat dalam penyalahgunaan dadah di seluruh negara.Tiga negeri mencatatkan bilangan penyalahgunaan dan penagih dadah tertinggi tahun lalu ialah Selangor (25,032), Johor (21,366 ) dan Kelantan (21,338).Mengulas lanjut, Abdul Halim yang juga Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International) berkata, usaha membanteras dadah memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak bukannya semata-mata meletakkan tanggungjawab tersebut kepada PDRM.Menurutnya, ancaman dadah ketika ini bersifat dinamik dan kompleks dengan kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) penyalahgunaan dadah sintetik, serta mod pengedaran digital.Ujarnya, keadaan ini memerlukan pendekatan pelbagai dimensi dan menuntut penglibatan semua pihak khususnya masyarakat."Masyarakat perlu sedar dadah musuh utama negara dan perlu dibanteras secara holistik serta konsisten terutama era kewujudan dadah sintetik ini," katanya.