PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberi jaminan bahawa kepentingan kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan termasuk Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru akan terus dipelihara di bawah pentadbiran beliau.Beliau berkata, pemeliharaan kampung tradisi merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian serius khususnya dalam landskap pembangunan bandar yang semakin pesat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan."Mengenai saya dan bagaimana kita jaga kampung-kampung tradisi orang Melayu di Wilayah Persekutuan, jangan risau."Boleh semak rekod, saya adalah Ahli Parlimen Kampung Sungai Penchala," katanya pada sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan, di sini pada Isnin.Menurut Hannah, kewujudan kampung tradisi Melayu semakin terhad dan perlu dipelihara secara seimbang tanpa menafikan keperluan pembangunan bandar.Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang langkah melibatkan kampung tradisi perlu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta proses pentadbiran yang jelas."Kalau nak cari bangunan-bangunan komersial, senang tetapi nak cari kampung tradisi sukar."Tapi itu semua kita kena ikut undang-undang dan saya akan dapatkan taklimat dulu daripada agensi," katanya.Mengulas lanjut, Hannah berkata, sebarang keputusan melibatkan Kampung Baru dan kawasan sekitarnya tidak akan dibuat secara tergesa-gesa tanpa maklumat lengkap daripada agensi berkaitan.Jelasnya, isu Kampung Baru bukan perkara baharu dan telah lama dibincangkan di pelbagai peringkat, termasuk di Parlimen, justeru memerlukan penelitian menyeluruh sebelum sebarang komentar dibuat."Yang keduanya mengenai isu Kampung Baru, isu PBT... yang itu semua kita tunggu taklimat dulu," katanya.Beliau turut memberi jaminan bahawa segala urusan dan dasar berkaitan Kampung Baru yang telah dilaksanakan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa akan diteruskan selagi ia selari dengan kepentingan penduduk."Saya yakin semua urusan yang telah dilakukan oleh Dr Zaliha, akan kita teruskan," katanya.Dalam pada itu, Hannah menegaskan bahawa suara ahli Parlimen kawasan terlibat akan terus diambil kira dalam sebarang perancangan atau keputusan berkaitan kampung tradisi.Menurutnya, ahli Parlimen merupakan wakil rakyat yang memahami denyut nadi serta kebimbangan penduduk setempat.