[VIDEO] 'Kaum atau warna kulit tidak pernah jadi batasan kerja saya' - Hannah Yeoh

PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan bahawa kaum atau warna kulit tidak pernah mendefinisikan atau mengehadkan pelaksanaan tugas beliau, sebaliknya rekod perkhidmatan, dasar dan hasil kerja menjadi ukuran sebenar dalam memikul amanah.Beliau berkata, isu perkauman yang dibangkitkan susulan pelantikan beliau dan Timbalan Menteri, Datuk Loh Su Fui tidak seharusnya mengaburi fokus utama pentadbiran Wilayah Persekutuan."Kaum ataupun warna kulit tidak pernah mendefinisikan atau mengehadkan kerja kami," katanya pada sidang akhbar hari pertamanya di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin.Hannah berkata, sepanjang penglibatan beliau dalam politik dan pentadbiran sejak 2008, tumpuan sentiasa diberikan kepada dasar, pelaksanaan serta hasil kerja tanpa menjadikan faktor kaum sebagai penentu."Sejak 2008, sama ada sebagai ADUN Subang Jaya, Speaker Dewan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Segambut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Menteri Belia dan Sukan, tumpuan saya sentiasa kekal kepada dasar serta pelaksanaan serta hasil kerja, bukan terhadap warna kulit saya," katanya.Menurut beliau, komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat kekal menjadi prinsip utama dalam setiap amanah yang dipikul, termasuk menerajui Wilayah Persekutuan."Akal dan hati saya sentiasa komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan saya bersedia untuk bekerja dengan segera sertaa membiarkan rekod pencapaian menjadi bukti," katanya.Mengulas mengenai tumpuan kementerian, Hannah berkata beliau komited untuk memimpin Wilayah Persekutuan dengan ketelusan, tanggungjawab dan kefahaman yang jelas terhadap realiti yang dihadapi masyarakat."Tumpuan saya adalah untuk memperkukuh kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam, memacu pembangunan mampan, melindungi ruang hijau serta rekreasi serta mempertingkat usaha mitigasi banjir."Ini adalah amanah yang besar dan saya akan memikulnya dengan integriti, disiplin serta tekad yang tinggi, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani, harapan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, inklusif serta berkesan," jelas beliau.Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet kali kedua dalam era pentadbirannya.Ia menyaksikan beberapa nama digugurkan dan muka baharu dilantik selain bertukar portfolio. Antaranya Hannah Yeoh atau nama sebenarnya Hannah Yeoh Tseow Suan daripada DAP sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan dibantu oleh Datuk Lo Su Fui daripada GRS.Ia sekali gus mencetuskan polemik dan kebimbangan kerana buat pertama kalinya menteri bukan Islam ditempatkan di portfolio berkenaan.