SHAH ALAM – Dengan kira-kira 2.8 juta akaun langganan video atas permintaan (SVOD) direkodkan pada akhir 2024 serta 50.7 juta langganan mudah alih, kandungan penstriman kini bukan lagi media alternatif, sebaliknya saluran utama pembentukan persepsi, nilai dan norma sosial masyarakat. Perkembangan itu sekali gus menuntut penyesuaian undang-undang sedia ada agar kekal relevan dalam landskap digital.Pensyarah Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Muhamad Fazil Ahmad berkata, Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) masih relevan sebagai asas kawal selia, namun perlu disesuaikan dengan realiti penstriman digital yang beroperasi merentas sempadan.Menurut beliau, penyesuaian itu perlu merangkumi aspek penguatkuasaan rentas sempadan, ketelusan algoritma, keberkesanan klasifikasi umur serta tanggungjawab penyedia platform terhadap kandungan yang diedarkan kepada pengguna di Malaysia."Kerangka undang-undang berkaitan kandungan dibangunkan dalam konteks media tradisional seperti pawagam, televisyen dan edaran fizikal, bukan untuk ekosistem penstriman digital tanpa sempadan."Walaupun elemen yang menonjolkan gaya hidup LGBTQ bertentangan dengan nilai budaya, agama dan undang-undang tempatan, realitinya kandungan sedemikian sukar disekat sepenuhnya apabila ditawarkan terus kepada pengguna melalui platform penstriman asing," katanya kepada Sinar Harian.Dari sudut perundangan, jelas beliau, kuasa pengawalseliaan terhadap kandungan penstriman masih terhad, manakala penguatkuasaan pula banyak bergantung kepada kerjasama sukarela penyedia platform, laporan pengguna serta tindakan susulan oleh pihak berkuasa berkaitan.