Polis siasat kes gaduh kerusi 'terbang' di kedai makan

JOHOR BAHRU- Siasatan giat dijalankan berhubung insiden pergaduhan tular di media sosial yang didakwa berlaku di sebuah kedai makan di kawasan Permas Jaya di sini pada Sabtu.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya setakat ini menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang individu, dipercayai mangsa kejadian."Laporan diterima pada jam 9.12 malam dan siasatan akan dimulakan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi satu minit 29 saat yang tular di media sosial menunjukkan suasana di sebuah kedai makan dipenuhi pelanggan sebelum kelihatan beberapa lelaki berpakaian gelap bergerak di sekitar kawasan berkenaan.Rakaman itu turut memaparkan empat lelaki menghampiri meja yang diduduki dua individu sebelum berlaku pertengkaran dan salah seorang mangsa dilihat dipukul.Tidak lama kemudian, sekumpulan lelaki berpakaian hitam dipercayai melebihi 20 orang muncul dari pelbagai arah dan menyerang kedua-dua mangsa.Bagaimanapun, kejadian itu hanya berlangsung sekitar 35 saat selepas beberapa orang awam cuba campur tangan, sebelum kumpulan lelaki terbabit beredar dari lokasi kejadian.