54 gerai bangunan lama terbakar

KAMPAR - Sebuah bangunan kedai lama musnah hampir sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Idris, Kampung Masjid, Pekan Kampar di sini awal pagi Isnin.Panggilan kecemasan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar pada jam 3.10 pagi melibatkan bangunan kayu jenis kelas C setingkat.Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, anggaran kemusnahan mencecah 90 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat."Daripada maklumat diterima, bangunan ini menempatkan 54 unit gerai, namun hanya 10 unit sahaja digunakan bagi ruang niaga manakala selebihnya sebagai stor," katanya dalam kenyataan di sini.Beliau berkata, seramai 25 anggota bersama empat jentera termasuk tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera pasukan bomba sukarela (PBS) terlibat dalam operasi pemadaman.Katanya, bantuan pemadaman turut digerakkan dari BBP Gopeng dan BBP Tapah bagi mengawal kebakaran yang melibatkan bangunan lama tersebut."Operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 5.20 pagi sebelum operasi ditamatkan jam 7.46 pagi," katanya.Setakat ini, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.