Anthony Loke digesa jawab segera isu 'bidding', tambang e-hailing

SHAH ALAM - Lebih 40,000 ahli rakan penghantar p-hailing dan pemandu e-hailing masih menunggu penjelasan berhubung perkara yang diutarakan semasa sesi libat urus antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersama beberapa persatuan pada 17 November lalu.Menuntut maklum balas rasmi daripada pejabat Menteri Pengangkutan iaitu Anthony Loke, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dalam kenyataan bersama pada Isnin memaklumkan, antara isu diutarakan ialah penawaran perkhidmatan e-hailing menggunakan konsep tawar-menawar atau 'bidding' yang jelas bercanggah dengan perundangan negara dan pernah disahkan sendiri oleh Anthony pada 12 Mei 2024.Tambah kenyataan itu, di sebalik kenyataan tegas tersebut kerajaan tetap membenarkan syarikat e-hailing menawarkan 'bidding' dan ia sedikit-sebanyak menampakkan dasar yang 'flip-flop'."Menteri telah menyatakan bahawa perundangan tidak membenarkan, tetapi agensi kawalselia membenarkan operasi syarikat seumpama ini di negara ini."Kewujudan syarikat 'bidding' ini memberi impak negatif kepada pemandu e-hailing berikutan tiada harga lantai yang munasabah meskipun kerajaan berulang kali, terutama ketika berusaha mendapatkan sokongan bagi Akta Pekerja GiG 2025 kononnya wira pekerja gig di seluruh negara."Apa yang kami lihat, kerajaan akhirnya akur kepada syarikat e-hailing 'bidding' dan melupakan segala gimik ketika meraih sokongan pemandu," menurut kenyataan itu.Kenyataan bersama yang dikeluarkan itu melibatkan Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD), Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM), Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (Tenaga GiG), Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Penghantar Dan Penghantar e-Hailing Sabah, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak serta Persatuan Rakan Penghantar Kedah.Tambah kenyataan itu, apabila 'bidding' dibenarkan di negara ini, syarikat-syarikat lain terpaksa bersaing menurunkan harga tambang hingga menyebabkan pemandu e-hailing secara keseluruhan menerima kesan.Jelas kenyataan itu, persaingan dalam industri sememangnya dijadikan alasan sebagai menguntungkan pengguna, namun kerajaan perlu melihat kesan terhadap pemandu e-hailing."Tiada keseimbangan dalam polisi kerajaan bagi memastikan pengguna serta pemandu e-hailing menerima manfaat yang munasabah terutamanya ketika kos sara hidup semakin meningkat dan subsidi bahan api dirasionalisasikan."Kami berulang kali menekankan tentang harga lantai, namun masih tidak diendahkan oleh kerajaan. Tetapi, kami tetap menyokong segala bentuk perhimpunan yang diadakan oleh mana-mana wakil kerajaan."Segala ayat seperti ‘pekerja gig tunjang ekonomi’ diharap bukanlah sekadar ayat manis dalam ucapan, tetapi direalisasikan dalam polisi sedia ada industri," menurut kenyataan itu.Mereka turut mempersoalkan keperluan untuk wakil pegawai kanan agensi kawal selia hadir ke program syarikat e-hailing yang berada dalam tempoh pemantauan, sekali gus menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakan pemandu."Wakil agensi kawal selia sepatutnya mematuhi gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menitikberatkan tatakelola serta integriti yang baik kerana setiap tingkah laku penjawat awam sentiasa diperhatikan masyarakat dan dalam hal ini, timbul pelbagai andaian antara kami."Melangkah ke tahun 2026, kami harap Menteri Pengangkutan akan memberi perhatian lebih tegas dan benar-benar melaksanakan polisi bersandarkan perundangan sedia ada."Jika perlu, rombak agensi kawal selia untuk lebih prihatin terhadap pengguna dan pemandu e-hailing, bukan sekadar menjadi ejen kepada syarikat e-hailing," menurut kenyataan itu lagi.Pada Ahad, RPM menzahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa dalam industri gig, khususnya sektor e-hailing dan p-hailing, berikutan penyusutan pendapatan yang semakin membebankan rakan pemandu serta penghantar.Setiausahanya, Kamarulzaman Ahmad memaklumkan, satu sesi libat urus diadakan pada 17 November lepas antara APAD dengan beberapa persatuan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.Katanya, antara yang diutarakan ialah kajian harga lantai e-hailing, pelaksanaan sistem tambang berasaskan 'bidding', kenaikan kos insurans e-hailing serta isu berkaitan subsidi BUDI95.Bagaimanapun katanya, tiada sebarang maklum balas rasmi diterima daripada APAD sehingga kini, termasuk kajian tambang lantai e-hailing yang dijangka diumumkan pada Disember.