'Tidak ada jasa beliau kepada rakyat selama sembilan tahun berkhidmat?' - Penyokong Najib menangis, kecewa

KUALA LUMPUR - Suasana di luar pintu pagar utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bertukar suram apabila keputusan yang tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diumumkan pada Isnin.Lebih 100 penyokong yang berkumpul sejak awal pagi dilihat terdiam sebaik keputusan dibacakan dengan ada antara mereka mengalirkan air mata dan meluahkan kata-kata kecewa.Difahamkan, penyokong yang hadir datang daripada pelbagai negeri termasuk utara Semenanjung dengan segelintir mereka menaiki bas sejak awal pagi untuk menunjukkan sokongan.Seorang penyokong, Suzzalina Hassan, 43, dari Lenggeng, Negeri Sembilan meluahkan rasa sedih dan kecewa sebaik mengetahui keputusan tidak berpihak kepada Najib."Saya tidak sangka begini keputusannya. Kenapa? Beliau (Najib) sudah berusia, apa salahnya dia jalani baki tahanan di rumah. Tidak ada ke jasa beliau kepada rakyat selama sembilan tahun berkhidmat?," katanya.Keadaan di sekitar lokasi mahkamah terkawal dengan kehadiran anggota polis dan Angkatan Relawan Negara (RELA) yang terus memantau pergerakan orang ramai.Ada dalam kalangan penyokong yang beredar secara berperingkat, namun sebahagian besar lagi masih kekal berada di luar kawasan mahkamah sambil menunggu perkembangan lanjut.Pada Isnin, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman pemenjaraannya di bawah tahanan rumah.Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan dan membaca alasan penghakiman selama hampir sejam.Dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi itu bekas Perdana Menteri tersebut terus menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tempoh hukuman tamat.