Cucu didakwa bunuh nenek, tetak moyang

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin kerana membunuh neneknya dan mencederakan moyangnya dalam kejadian minggu lalu.Tertuduh, Muhammad Farhan Zulkefli, 21, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Halimah Hashim, 65, antara jam 6.40 petang hingga 6.53 petang di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil, Baling pada 16 Disember lalu.Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.Tertuduh turut didakwa menetak Mariyam Ariffin, 80, menggunakan sebilah parang di lokasi, masa dan tarikh yang sama.Akibat perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, hukuman penjara sehingga 20 tahun boleh dikenakan.Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Noor memaklumkan bahawa tertuduh kini sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan memohon perintah mahkamah mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.Mahkamah kemudian membenarkan permohonan bagi mendapatkan laporan psikiatri tertuduh di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 6 Januari tahun hadapan.Sementara itu, di luar mahkamah, tertuduh dilihat tenang dan kelihatan tersenyum ketika diiringi polis semasa dibawa masuk ke mahkamah pada Isnin.Sebelum ini, media melaporkan seorang warga emas maut ditikam cucunya, manakala ibu mangsa cedera ditetak dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil pada 16 Disember lalu.Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, Balai Polis Malau menerima makluman daripada orang awam berhubung kejadian tikam dan tetak membabitkan dua individu di lokasi kejadian pada Selasa minggu lalu.