FAM lapor polis cari dalang palsu dokumen

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi mengesan dalang di sebalik isu pemalsuan dokumen membabitkan pemain warisan Harimau Malaya.Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, langkah itu diambil susulan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) dalam laporan penuh mereka.Menurutnya, laporan polis itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk mencari individu yang bertanggungjawab melakukan pemalsuan tersebut."Saya rasa memang itu (syor) dalam laporan ini, dia pun menekankan supaya kita buat laporan polis bagi memberi polis ruang untuk buat siasatan penuh untuk kes ini."Tentu sekali kita akan buat dalam waktu yang terdekat, mungkin dalam satu dua hari ini kita akan buat laporan polis."Kita akan laporkan bahawa berlaku pemalsuan terhadap dokumen yang dihantar kepada FIFA. Kita mahu polis menyiasat bagaimana pemalsuan dokumen ini boleh berlaku atau siapa yang bertanggungjawab melakukannya seperti disyorkan oleh jawatankuasa IIC," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.Terdahulu, IIC yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif menyarankan badan induk bola sepak negara itu segera membuat laporan polis selepas gagal mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam kes membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.Rumusan itu dibuat selepas IIC menamatkan siasatan terperinci dan membentangkan laporan setebal 59 muka surat berhubung kontroversi berkenaan.Jawatankuasa tersebut mendedahkan mereka tidak dapat menentukan secara muktamad pihak yang memalsukan dokumen kerana beberapa kekangan utama, termasuk kegagalan notari awam memberikan kerjasama serta ketidakmampuan mengesan ejen kepada tujuh pemain terbabit walaupun usaha munasabah telah dilakukan.Selain laporan polis, FAM turut disaran mengambil beberapa langkah segera termasuk melaksanakan tindakan tatatertib dalaman terhadap pihak yang cuai serta melakukan pembaharuan struktur pentadbiran seperti yang dicadangkan oleh IIC.