MELAKA - Seorang pekerja kilang yang baru berkahwin Ogos lalu menangis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dalam kejadian Julai lalu.Tertuduh, Muhammad Farid Isham, 34, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menyentuh kemaluan mangsa di sebuah rumah di Pengkalan Rama Pantai dalam daerah Melaka Tengah sekitar jam 2 petang pada 2 Julai lalu.Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan keluarganya selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.Bagaimanapun, peguam tertuduh, Amritpal Singh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pekerja kilang, baru mendirikan rumah tangga dan merupakan penyara tunggal keluarga.Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 namun tertuduh memohon kadar lebih rendah kerana tidak mampu menyediakan jumlah tersebut.Isteri tertuduh yang hadir semasa prosiding turut menangis teresak-esak.Amritpal kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa isteri tertuduh hanya membawa wang jaminan sebanyak RM4,000.Hakim Raja Noor Adilla akhirnya membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM8,000 dengan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.