Polis terima satu lagi laporan kes amang seksual murid lelaki

KUALA LUMPUR - Polis menerima satu lagi laporan baharu melibatkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual oleh seorang guru sekolah di Kampung Pandan di sini.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan itu diterima pihaknya jam 1 petang pada Ahad."Laporan ini melibatkan suspek yang sama dan kini masih dalam tahanan reman."Kita harap masyarakat yang mempunyai maklumat tampil membantu pihak polis kerana kes sebegini memerlukan bantuan awam," katanya.Beliau berkata demikian selepas Majlis Prihatin Insani Bersama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.Khamis lalu, seorang guru lelaki berusia 40 tahun di sebuah sekolah di Kampung Pandan ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun.Penahanan itu adalah susulan laporan yang diterima pada 16 Disember lalu.Suspek telah direman selama enam hari sehingga 25 Disember bagi siasatan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.Mengulas mengenai Majlis Prihatin Insani Bersama Persatuan Perkep Kuala Lumpur, Fadil mengucapkan terima kasih atas kerjasama Yayasan Al-Izuddin (YAIZ), MedicAid dan Sri Ternak kepada warga Polis Kuala Lumpur dalam menyantuni anggota pasukan keselamatan itu.Sasaran penerima sumbangan ialah warga Polis Kuala Lumpur yang terdiri daripada golongan asnaf serta mereka yang mempunyai anak istimewa.Sementara itu, Pengerusi Perkep Kuala Lumpur, Datin Nurashidah Ishak berkata, penganjuran majlis tersebut bukan sekadar sebuah acara penyampaian sumbangan, tetapi merupakan satu manifestasi nilai kemanusiaan, kasih sayang dan tanggungjawab sosial yang perlu sentiasa disemai dalam kehidupan bermasyarakat."Golongan ini merupakan sebahagian daripada masyarakat kita yang mempunyai hak untuk dihormati dan diberi peluang yang adil."Anak-anak istimewa khususnya hadir dengan keunikan tersendiri, bakat yang tersirat dan potensi yang besar, sekiranya diberi ruang, sokongan dan kefahaman yang berterusan daripada semua pihak," ujarnya.Tambah Nurashidah, Perkep komited untuk menjadi pelengkap kepada usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga kebajikan keluarga polis, khususnya isteri dan anak-anak.