KOTA TINGGI - Polis mengesahkan dakwaan cubaan samun yang melibatkan dua kenderaan di Jalan Bandar Tenggara seperti yang tular di media sosial, adalah tidak benar.Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, berdasarkan video tular berkenaan, kejadian dipercayai berlaku pada jam 8 malam, 14 November lalu."Kejadian melibatkan sebuah BMW 320i berwarna hitam dan sebuah Perodua Ativa kelabu."Dakwaan cubaan samun yang tersebar adalah tidak tepat. Siasatan awal mendapati tiada unsur cubaan samun, ia hanya salah faham antara kedua-dua pemandu mengenai pemanduan di jalan raya."Pemandu BMW telah membuat laporan untuk menafikan cubaan samun, manakala pemandu Perodua Ativa setakat ini belum membuat sebarang laporan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Yusof menambah, pemandu Perodua Ativa akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi tujuan siasatan lanjut.Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan."Polis Kota Tinggi komited dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dengan aktiviti jenayah atau perbuatan menyalahi undang-undang," katanya.Sebelum itu, tular video rakaman kamera papan pemuka kereta berdurasi 2 minit 12 saat memaparkan sebuah kereta BMW hitam dilihat menekan brek beberapa kali.Kenderaan itu dilihat berhenti di tepi jalan seketika, kemudian meneruskan kembali perjalanannya dalam keadaan jalan yang agak lengang pada waktu malam.Keadaan itu menyebabkan pemilik video yang dalam perjalanan pulang ke kampung di Kota Tinggi melalui jalan lama Kota Tinggi-Kluang merasa kurang selesa.