LHDN terima lebih 850 juta e-Invois setakat 22 Disember

CYBERJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima lebih 820.5 juta e-Invois sejak ia dilaksanakan secara berfasa bermula pada 1 Ogos 2024 sehingga 22 Disember tahun ini.Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, jumlah itu melibatkan penyertaan lebih 111,600 pembayar cukai di seluruh negara.Jelasnya, angka itu bukan sahaja melibatkan pembayar cukai fasa pertama hingga ketiga yang melaksanakan e-Invois secara mandatori, tetapi turut disertai oleh pembayar cukai fasa keempat secara sukarela."Statistik ini menggambarkan bahawa pelaksanaan e-Invois secara umumnya diterima dengan sangat baik dalam kalangan perniagaan di Malaysia."Tahap pematuhan pelaksanaan secara mandatori juga mencatatkan peratusan yang amat memberangsangkan."Di pihak LHDN, kami amat komited dalam memberikan bantuan dan khidmat nasihat kepada semua pembayar cukai yang terlibat untuk memastikan kefahaman dan kesedaran tentang kepentingan dan manfaat pelaksanaan e- Invois bagi perniagaan atau organisasi setiap pembayar cukai," katanya.Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Sesi Libat Urus LHDN Bersama Dengan Persatuan Perdagangan di Menara LHDN di sini pada Isnin.Sesi yang julung kali diadakan itu disertai 46 orang wakil daripada 21 dewan perniagaan dan persatuan perdagangan di Lembah Klang.Mengulas lanjut, Abu Tariq berkata, pelaksanaan e-Invois bermula 1 Ogos tahun lalu secara berfasa dan kini kita sedang menuju ke fasa empat.Justeru katanya, dewan perdagangan dan persatuan perdagangan memainkan peranan penting dalam memastikan pemahaman dan kesedaran dalam kalangan ahli-ahlinya terhadap pelaksanaan tersebut."Menjelang pelaksanaan fasa empat yang akan melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta, sudah pasti lebih banyak perkara yang perlu didengari oleh LHDN terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan objektifnya tercapai," katanya.Sementara itu, ditanya mengenai cabaran atau faktor yang menyebabkan pelaksanaan itu ditolak oleh sebelum ini, Abu Tariq berkata, terdapat beberapa sebab utama dikenal pasti."Antara yang utama e-Invois tidak dapat dilaksanakan (ditolak) ialah di mana mereka tidak mendapat data yang tepat, nombor pengenalan cukai (TIN) yang betul, yang menyebabkan invois tersebut ditolak."Jadi itulah antara usaha kita ialah membolehkan pembayar cukai khususnya penjual untuk menyemak nombor TIN yang betul daripada pihak LHDN," katanya.Menjawab mengenai pematuhan pelaksanaan e-Invois dalam fasa yang telah dilaksanakan, beliau berkata, ia menunjukkan perkembangan positif."Fasa satu dan dua, pematuhan melebihi 90 peratus. Fasa tiga kita belum sampai ke penghujung, tapi ianya juga telah melebihi 80 peratus pematuhan daripada fasa-fasa sebelum ini," katanya.