PEKAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui lemas dipercayai terjatuh dan hanyut dibawa arus ketika keluar menangkap ikan bersama adik dan dua rakan di kawasan tali air di Kampung Permatang Gepung, Merchong, Nenasi di sini pada Ahad.Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah ditemui tidak sedarkan diri di dalam air kira-kira jam 6.30 petang.Menurutnya, kanak-kanak itu dibawa pulang ke rumah namun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Nenasi."Berdasarkan siasatan awal, mangsa bersama ibu dan tiga adiknya keluar mencari ikan di kawasan tali air sawah Kampung Permatang Tepung kira-kira jam 5.30 petang pada hari berkenaan."Kira-kira setengah jam kemudian mereka balik ke rumah namun mangsa bersama adiknya berusia sembilan tahun dan dua rakan kembali semula ke tali air itu tanpa diketahui keluarga," katanya.Mohd Zaidi berkata, semasa leka mencari ikan, mangsa dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus."Rakan-rakannya meminta bantuan penduduk kampung untuk membantu mencari kanak-kanak itu sebelum dia ditemui di dalam air dengan kedalaman dua meter kira-kira 20 meter dari tempat kejadian."Mangsa dibawa balik ke rumah sebelum pegawai perubatan dipanggil membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," ujarnya.Tambah beliau, jenazah mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk proses bedah siasat."Hasil bedah siasat mengesahkan kematian kanak-kanak itu akibat lemas," katanya.