KUALA LUMPUR - ASEAN mesti melakukan apa sahaja yang perlu bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, sambil menegaskan bahawa usaha menangani situasi antara Kemboja dan Thailand mesti melangkaui sekadar meredakan ketegangan, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.Beliau berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia berpandangan bahawa blok serantau itu perlu mempergiat usaha pembinaan kepercayaan antara pihak-pihak yang terlibat dalam konflik serta memastikan dialog diteruskan walaupun berdepan perbezaan yang ketara, memandangkan kestabilan serantau merupakan tanggungjawab bersama.Beliau turut menekankan pendekatan ASEAN perlu dipandu oleh pengajaran daripada pengalaman lalu serta berteraskan kebijaksanaan, solidariti dan kepercayaan yang telah membolehkan rantau ini mengharungi pelbagai tempoh pergolakan."ASEAN mesti melakukan apa sahaja yang perlu untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau. Matlamat kita bukan sekadar meredakan ketegangan."Kita perlu mempergiat pembinaan kepercayaan antara pihak-pihak yang berkonflik dan menyediakan ruang dialog meskipun berdepan perbezaan," katanya dalam ucapan pembukaan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) mengenai situasi terkini antara Thailand dan Kemboja, di sini pada Isnin. - Bernama