MARAN - Kegiatan pemburuan haram lelaki warga Myanmar yang berselindung di sebalik kerja di ladang durian terbongkar selepas diberkas di rumah kongsi pekerja di Sungai Jerik di sini pada Ahad.Tangkapan itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 12/2025 Zon Timur.Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan kira-kira jam 3.30 petang di rumah kongsi itu menahan lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun.Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemui dua unit disyaki taring beruang bernilai RM2,000 serta satu laras disyaki senapang angin."Pasukan operasi turut menyita antaranya dua kotak guli disyaki peluru senapang angin, tiga utas dawai jerat dan telefon bimbit."Kesemua nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,800," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Tambahnya, suspek berusia 29 tahun itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menyimpan hidupan liar.Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai pemburu haram yang aktif sejak awal tahun ini berdasarkan senapang angin dan jerat yang ditemui."Suspek juga merupakan pekerja ladang durian yang terletak berdekatan dengan Hutan Simpan Berkelah."Taring beruang itu dipercayai untuk disimpan dan ada juga yang sudah dijual," ujarnya.Tegasnya, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.