'Jangan simbah minyak pada api yang sedang marak' - Presiden UMNO

SHAH ALAM - "Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak," demikian kenyataan tegas daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Meskipun hanya hantaran ringkas di Facebook pada Isnin, kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada pemimpin DAP yang didakwa bersorak ‘meraikan’ keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum.Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menegur sikap ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dengan mengatakan tindakan wakil rakyat DAP itu tidak wajar kerana keputusan mahkamah melibatkan penderitaan dan kesan besar terhadap individu serta keluarga terlibat.Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh juga secara lantang menggesa supaya parti menarik balik sokongan daripada kerajaan sekarang.Tegasnya, lebih baik UMNO menjadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina rakan sekutu dalam kerajaan.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendesak kerajaan melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.Hakim, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas mendapati titah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 untuk membenarkan Najib, 72, menjalani hukuman penjara di kediaman sendiri.Menurutnya, titah tersebut tidak dibuat mengikut tatacara Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana isu tahanan rumah tidak diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.Kata beliau, perintah tambahan hanya menyentuh saranan mempertimbangkan permintaan Najib selaku pemohon untuk mendapat pengampunan penuh dan pengurangan hukuman penjaranya.Anak kelahiran Pahang itu telah menjalani hukuman di Penjara Kajang lebih tiga tahun bermula 23 Ogos 2022 kerana bersalah atas kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.Jika bekas pemimpin UMNO itu berjaya dalam permohonannya, maka beliau akan menjalani hukuman penjara di rumah sendiri.Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menolak permohonan tersebut, maka Najib perlu kekal di penjara yang sama dan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.Walau apa sahaja keputusannya kelak, kedua-dua pihak masih berpeluang untuk memfailkan rayuan bagi keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.