ACEH - Rangkaian pasar raya besar Econsave Cash & Carry Sdn Bhd sekali lagi berkolaborasi dengan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dengan melancarkan Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh yang melanda wilayah Aceh pada 26 November lalu.Misi enam hari pada 18 hingga 23 Disember itu memfokuskan usaha membantu menyediakan bekalan air bersih dan barang-barang keperluan asas kepada mangsa banjir yang sebahagian besar daripada mereka hilang tempat tinggal dan tinggal sehelai sepinggang.Pengurus Besar Econsave Cash & Carry, Mas Imran Adam berkata, pihaknya dan MyCare memperuntukkan sejumlah RM100,000 yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada mangsa bencana alam itu."Antara bantuan yang kita berikan seperti kanvas tarpaulin kepada 300 keluarga mangsa banjir bagi mendirikan khemah untuk tempat tinggal sementara. Kita juga adakan dapur umum yang menyediakan hidangan kepada 200 mangsa banjir setiap hari selama 10 hari."Selaras dengan fokus kita untuk membekalkan air bersih, kita telah membeli dua tangki air yang sudah dirawat untuk menampung keperluan penduduk terutama penghuni pusat penempatan sementara," katanya.Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia yang menyertai misi berkenaan selepas menyerahkan kanvas dan pek makanan panas kepada mangsa banjir di surau Desa Geudumbak, Kecamatan Langkahan, Aceh Utara pada Ahad.Mas Imran berkata, Econsave juga menaja pembelian seekor lembu untuk disembelih dan dijadikan hidangan bagi kira-kira 200 penduduk di Desa Geudumbak."Bagi jangka masa panjang kita rancang mendirikan kediaman sementara dikenali sebagai Rumah Senyum untuk penduduk yang rumahnya musnah dan dihanyutkan banjir hujung bulan lalu."Kita akan mula bina pada Januari tahun depan dengan kos antara RM2,000 hingga RM4,000," katanya.Sementara itu, Pengurus Projek MyCARE, Noorsyazli Rameli berkata, misi berkenaan dirangka dan dilaksanakan dalam masa agak singkat bagi menyalurkan bantuan kepada seberapa ramai penduduk yang terjejas teruk ketika banjir bandang itu dalam usaha meringankan beban mereka.Beliau yang mengetuai misi berkenaan berkata, contohnya kampung terbabit tidak menerima bantuan sebelum ini kerana kedudukannya yang terpencil dan kesusahan mereka tidak disedari masyarakat luar."Penyumbang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan serta luar negeri hanya mengetahui keadaan mereka selepas tular dalam media sosial," katanya.