Isu pemalsuan dokumen pemain warisan: FIFA akan siasat Noor Azman

PETALING JAYA - Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan memanggil Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan negara.Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, siasatan bertujuan mengetahui peranan Noor Azman selain pembabitannya dalam isu pemalsuan dokumen berkenaan."Kita juga menerima e-mel daripada FIFA yang memaklumkan mereka akan menjalankan siasatan ke atas beliau."FIFA lebih hendak mengetahui proses dan tanggungjawab Noor Azman dengan lebih mendalam," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Exco di Wisma FAM, di sini hari ini.Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata, Noor Azman juga akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin (EB) FAM bagi menentukan nasibnya kelak.Beliau berkata, keputusan EB itu kemudian akan dirujuk kepada Exco bagi menentukan status Noor Azman."Ia bergantung kepada sejauh mana kesalahan yang dilakukannya itu. Kalau kesalahan setakat itu, ada hukumannya dan kalau kesalahan itu tinggi, ada hukumannya tetapi pada akhirnya, Exco yang akan buat keputusan", katanya.Pada Oktober lepas, Noor Azman digantung tugas serta-merta susulan siasatan oleh FIFA berhubung status tujuh pemain kacukan Harimau Malaya. - Bernama