PETALING JAYA – UMNO Bahagian Petaling menyelar keras tindakan seorang pemimpin DAP yang disifatkan biadap, angkuh dan tidak beradab apabila didakwa mempermainkan keputusan mahkamah berkaitan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling, Datuk Dazma Shah Daud, berkata kenyataan serta hantaran media sosial yang dimuat naik oleh Yeo Bee Yin bukan sahaja mencerminkan kegagalan memahami prinsip asas kedaulatan undang-undang, malah memperlihatkan sikap dangkal dalam menghormati institusi kehakiman negara.Menurutnya, keputusan mahkamah tidak pernah dan tidak seharusnya diraikan seperti kemenangan politik, apatah lagi dijadikan bahan sindiran serta ejekan terbuka."Ini bukan soal sokong atau tidak sokong Najib Razak. Ini soal adab dan maruah. "Apabila seorang pemimpin politik seolah-olah bersorak atas keputusan mahkamah, ia menunjukkan betapa rendahnya nilai hormat mereka terhadap institusi keadilan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Dazma Shah juga menegaskan bahawa sikap sedemikian amat tidak wajar datang daripada seorang pemimpin yang sering mendakwa memperjuangkan reformasi, integriti dan kebebasan institusi."Ironinya, pemimpin DAP inilah yang selama ini bercakap soal reformasi dan keadilan. Namun apabila keputusan mahkamah selari dengan kepentingan politik mereka, terus diraikan tanpa memikirkan sensitiviti dan implikasi kepada masyarakat," ujarnya.Beliau berkata, perbuatan memperlekeh proses kehakiman bukan sahaja mencemarkan imej politik sihat, malah berpotensi menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.Tambah beliau, reaksi keras orang ramai di ruangan komen terhadap hantaran berkenaan jelas menunjukkan bahawa rakyat semakin muak dengan budaya politik sombong, provokatif dan tidak berempati yang dipamerkan oleh sebahagian pemimpin DAP."Komen-komen rakyat sendiri menjadi cerminan penolakan terhadap politik kebencian dan sikap meraikan kesusahan orang lain. Ini bukan politik matang, ini politik dangkal," katanya.Dazma Shah turut mengingatkan bahawa kes Najib masih tertakluk kepada proses perundangan dan sebarang keputusan mahkamah perlu dihormati, bukan dipolitikkan untuk kepentingan sempit."Mahkamah bukan pentas sorakan. Undang-undang bukan alat propaganda. Jika ini tahap kefahaman pemimpin DAP terhadap demokrasi, maka jelas mereka gagal menjadi contoh kepada rakyat," tegasnya.Beliau menegaskan UMNO akan terus konsisten mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang serta menolak sebarang cubaan mempermainkan institusi negara demi keuntungan politik."Pemimpin yang matang tidak menari di atas keputusan mahkamah. Mereka tunduk hormat kepada sistem, walau apa pun keputusannya," katanya.