SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menilai keperluan logistik serta kos yang terlibat bagi membawa pulang aset bernilai tinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).Menurut sumber, SPRM kini dalam proses membawa pulang aset-aset bernilai tinggi yang berkaitan dengan usaha pemulihan aset terbabit untuk tindakan selanjutnya."Aset yang berada di bawah jagaan Sotheby’s Auction House Amerika Syarikat kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia melalui penghantaran (shipping), manakala aset yang berada di bawah jagaan Christie’s hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di Amerika Syarikat, khususnya melalui kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ)."Kos membawa pulang aset-aset ini tinggi kerana ia memerlukan ruang penyimpanan khas, pemeriksaan berkala, rawatan konservasi serta penyelenggaraan berterusan selain memerlukan koordinasi yang rapi dengan agensi penguatkuasaan asing," katanya pada Isnin.Pemulangan aset-aset ini telah dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB serta hasil perbincangan dua hala antara SPRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu.Dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo dipegang Christie's dan Sotheby's Auction House Amerika Syarikat antaranya Pablo Picasso (1961), L'Ecuyere et les clowns; Joan Miró (1953), Composition; William H Bailey (b. 1930), Still Life; Alexander Calder (1898–1976), Studies for Sculpture; dan Henri Matisse (1869–1954), Femme Assise yang kesemuanya bernilai melebihi AS$30 juta.Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memberitahu SPRM masih meneruskan pengesanan dan siasatan ke atas pelbagai kategori aset, termasuk hartanah, aset kewangan dan aset bernilai tinggi melibatkan jurisdiction berbeza.Beliau turut memaklumkan, terbaharu siasatan turut melibatkan individu bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB, Tang Keng Chee (Casey Tang) yang dikaitkan dengan kesalahan 1MDB yang memiliki kediaman mewah di luar negara serta penyelewengan melibatkan firma guaman luar negara.