Cemburu punca rusuhan bersenjata di restoran, lapan individu ditahan

JOHOR BAHRU - Cemburu dan masalah peribadi dipercayai menjadi punca kejadian rusuhan menggunakan senjata di sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya, Masai, yang membawa kepada penahanan lapan individu oleh polis.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian yang turut tular di media sosial itu berlaku kira-kira jam 11.05 malam pada Sabtu lalu.Jelas beliau, hasil operasi dijalankan pada awal pagi Isnin, seramai tujuh lelaki serta seorang wanita berusia antara 17 hingga 46 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru dan Skudai."Insiden terjadi apabila sekumpulan kira-kira 20 lelaki menyerang dua mangsa menggunakan kerusi plastik dan botol kaca."Akibat serangan tersebut, seorang mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan sebelum menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Menurut Raub, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai beberapa rekod lampau jenayah."Polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit bagi membantu siasatan."Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka negatif dadah."Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata atau objek berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali," tambahnya lagi.Ujar beliau, kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula Isnin bagi membantu siasatan lanjut.Dalam pada itu, polis masih giat mengesan individu lain yang terlibat dalam kejadian berkenaan."Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan sentiasa mematuhi undang-undang."Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk keganasan serta gangguan ketenteraman awam," tegasnya.Sebelum itu, Raub mengesahkan polis menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang individu dipercayai mangsa kejadian dan siasatan giat dijalankan untuk memburu suspek.Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi satu minit 29 saat yang tular di media sosial menunjukkan suasana di sebuah kedai makan dipenuhi pelanggan sebelum kelihatan beberapa lelaki berpakaian gelap bergerak di sekitar kawasan berkenaan.Rakaman itu turut memaparkan empat lelaki menghampiri meja yang diduduki dua individu sebelum berlaku pertengkaran dan salah seorang mangsa dilihat dipukul.Tidak lama kemudian, sekumpulan lelaki berpakaian hitam dipercayai melebihi 20 orang muncul dari pelbagai arah dan menyerang kedua-dua mangsa.Bagaimanapun, kejadian itu hanya berlangsung sekitar 35 saat selepas beberapa orang awam cuba campur tangan, sebelum kumpulan lelaki terbabit beredar dari lokasi kejadian.