Pergaduhan di pusat beli-belah berlarutan hingga ke balai polis

JOHOR BAHRU - Pergaduhan dua warga Singapura di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Ahad bertukar serius apabila insiden itu berlarutan hingga ke Balai Polis Larkin ketika mereka membuat laporan polis.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, akibatnya kedua-dua suspek berusia 46 dan 56 tahun itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana mengalami kecederaan ringan."Kejadian dilaporkan pada kira-kira jam 5.20 petang di aras satu sebuah pasar raya selepas tercetus pertikaian antara kedua-dua suspek."Pertikaian bermula apabila salah seorang suspek tidak berpuas hati selepas ditegur oleh isteri seorang lagi suspek yang mendakwa hampir dilanggar serta terkena minuman bir yang tertumpah" katanya dalam kenyataan pada Isnin.Raub berkata, pertengkaran itu kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan sehingga memerlukan campur tangan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di lokasi kejadian."Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Larkin untuk tindakan lanjut. Namun ketika salah seorang suspek sedang membuat laporan polis, seorang lagi suspek bertindak agresif di kaunter aduan sehingga berlaku pergelutan dalam kawasan balai polis."Bagaimanapun keadaan berjaya dikawal dan dileraikan oleh anggota polis yang bertugas. Ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah," ujarnya.Baliau berkata, kedua-dua suspek direman selama dua hari bermula Isnin bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.Dalam pada itu, Raub menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan, kelakuan tidak senonoh dan gangguan ketenteraman awam, khususnya di kawasan balai polis.Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhemah, mematuhi undang-undang serta menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran yang betul.