Keputusan kes Najib jadi sorakan politik, parti tidak akan diam - Pemuda UMNO

JOHOR BAHRU – UMNO tidak akan bersekongkol dengan budaya politik kebencian, khususnya cubaan menormalisasikan penghinaan terhadap institusi dan tokoh negara demi kepentingan politik sempit.Kenyataan itu dibuat Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah susulan tindakan segelintir pemimpin DAP yang didakwa bersorak dan meraikan keputusan mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin."Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini," tulis Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin menerusi hantarannya di Facebook.Mengulas tindakan Bee Yin itu, Hairi menegaskan bahawa walaupun UMNO menghormati keputusan mahkamah dan kedaulatan undang-undang, parti itu tidak akan berdiam diri apabila keputusan tersebut dijadikan pentas sorakan politik."UMNO tidak pernah meminta campur tangan dalam urusan kehakiman. Tetapi kami menolak sebarang usaha menjadikan penderitaan tokoh negara sebagai bahan ejekan atau propaganda politik," katanya.Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan tindakan Ahli Parlimen DAP yang dilihat seperti meraikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan tahanan rumah oleh Najib diselar oleh beberapa pemimpin UMNO.Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib bagi memaksa kerajaan serta enam pihak lain melaksanakan Titah Adendum, bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.Mengulas lanjut, Mohd Hairi yang juga Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor berkata, politik tidak boleh dibina atas penghinaan, keangkuhan dan cubaan merendahkan maruah rakan gabungan.Katanya, tindakan sedemikian hanya mendedahkan wajah sebenar pihak yang kononnya memperjuangkan reformasi, namun gagal memahami nilai asas kemanusiaan dan adab.Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu menegaskan bahawa kesabaran UMNO bukanlah satu kelemahan, sebaliknya mencerminkan kematangan dalam berpolitik."UMNO tidak akan teragak-agak untuk menilai semula pendirian serta pendekatan politiknya sekiranya garis adab, prinsip dan maruah terus dilanggar."UMNO akan terus berjuang bukan dengan kebencian atau sorakan atas penderitaan orang lain, tetapi dengan prinsip, maruah dan tanggungjawab terhadap negara," ujarnya.