'DAP tetap DAP' - Bekas setiausaha akhbar Najib

SHAH ALAM - Kenyataan tidak sensitif dikeluarkan pemimpin DAP berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai bukan sesuatu yang menghairankan.Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Salleh berkata, sikap biadab terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu sememangnya akan sentiasa tertanam dalam pemikiran pemimpin parti berkenaan."DAP tetap DAP. Bukan sesuatu menghairankan dengan pendirian dua pemimpin DAP ini. Mungkin sebahagian besar yang lain pun berpendirian sedemikian."Janganlah menyiram minyak tanah ke dalam api yang sedang marak. Kesabaran kita ada hadnya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Najib bagi memaksa kerajaan serta enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.Hakim, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian mendapati titah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 untuk membenarkan Najib, 72, menjalani hukuman penjara di kediaman sendiri.Beberapa jam selepas itu, Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin membuat hantaran di media sosialnya seakan ‘meraikan’ keputusan itu.Mengulas lanjut mengenainya, Rozilan yang juga bekas setiausaha akhbar kepada Najib berkata, mana-mana pihak boleh sahaja bersetuju dengan keputusan mahkamah tetapi ia tetap ada batasnya."Sebagai ahli Parlimen pakatan kerajaan (Perpaduan) kenapa perlu bersikap biadab terhadap bekas pemimpin negara dan parti komponennya (Barisan Nasional) yang penting?"Kenapa perlu meraikan kesusahan orang lain dengan kegembiraan? Sekali gus menggambarkan tahap pemikiran cauvinis mereka yang tetap tertanam kukuh," ujarnya.