IPOH - UMNO Perak mengecam sekeras-kerasnya kenyataan dimuat naik Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan mahkamah tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu bukan sahaja disifatkan sebagai tidak sensitif, malah memperlihatkan kegagalan memahami realiti politik serta emosi masyarakat, khususnya apabila melibatkan seorang bekas pemimpin negara yang banyak berjasa.Menurutnya, meskipun semua pihak perlu menjunjung prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mana-mana individu, termasuk ahli politik, bersikap biadab dengan mengejek atau meraikan penderitaan pihak lain."Ketika rakyat mengharapkan kerajaan hari ini menjadi payung kepada kestabilan dan ketenangan politik, kenyataan seumpama ini hanya memercik api permusuhan serta mengundang prasangka yang mampu menggoncang keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.Menteri Besar Perak itu menegaskan, politik seharusnya menjadi wadah untuk menjunjung tanggungjawab, empati dan kebijaksanaan, bukannya medan menzahirkan dendam atau meraikan kejatuhan pihak lain demi kepentingan politik sempit."Politik bukan tempat untuk mencipta naratif yang menyimbah minyak ke atas api yang masih membara."Sensitiviti politik bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana kenyataan provokatif hanya akan mencederakan usaha membina kestabilan politik."Selain mengguris perasaan sebahagian besar rakyat yang masih menghargai jasa pemimpin terdahulu dan merosakkan kepercayaan awam terhadap kematangan dan adab pemimpin politik," katanya.Beliau berkata, UMNO Perak tegas dengan pendirian bahawa perbezaan pandangan politik tidak pernah menghalalkan sikap tidak berperikemanusiaan."UMNO Perak juga menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan ejekan atau modal politik murahan," katanya.Terdahulu, Bee Yin memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum untuk membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah."Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini," tulis Bee Yin dalam hantaran berkenaan.Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.