'Pemandu yang cukup rehat kunci kepada perjalanan selamat, selasa'

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menggalakkan orang ramai merancang laluan, mengurus masa perjalanan dan menetapkan waktu untuk berehat ketika melakukan pejalanan semasa cuti sekolah, sambutan Krismas dan tahun baharu yang akan datang,Ketua Pegawai Komersil PLUS, Mohd Fauzi Puniran berkata, ia susulan lebih dua juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak dijangka akan melakukan perjalanan pada waktu tersebut.Menurutnya, orang ramai boleh merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dalam aplikasi PLUS termasuk merancang waktu untuk berhenti rehat sepanjang perjalanan di lebuhraya.Ini kerana katanya, pemandu yang cukup rehat adalah kunci kepada perjalanan percutian selamat dan lebih selesa."Kawasan Rehat & Rawat (R&R) PLUS telah menjadi persinggahan penting untuk pengguna lebuh raya, menawarkan bukan sahaja kemudahan, tetapi juga keselesaan dan persekitaran yang menyegarkan."Kami menyediakan kemudahan yang selesa dan mesra keluarga, merangkumi tandas, ruang solat, taman permainan kanak-kanak, serta bilik persalinan bayi. Dilengkapi dengan suasana yang mesra, R&R turut menawarkan kepelbagaian pilihan makanan dan minuman."Daripada hidangan kegemaran tempatan dan jenama terkemuka hingga pilihan sedia bawa seperti kopi yang dibancuh segar serta snek ringan. Keistimewaan ini menjadikannya ruang ideal bagi keluarga untuk berehat, menyegarkan diri dan mengumpul semula tenaga sebelum menyambung perjalanan,"ujarnya.Mohd Fauzi berkata, perkara tersebut amat penting untuk keluarga yang melakukan perjalanan dengan anak kecil, ibu bapa warga emas atau mereka yang mungkin memerlukan waktu rehat lebih kerap."Perjalanan cuti boleh meletihkan, terutamanya bagi golongan muda dan warga emas. Berehat seketika di R&R membantu semua orang merehatkan badan, menyegarkan diri dan kekal fokus bagi memastikan perjalanan menyeronokkan untuk semua," ujarnya.Sementara itu, pakar keibubapaan dan motivasi, Zaid Mohamad berpendapat, perancangan awal bukan hanya tentang mengelakkan kesesakan lalu lintas, malah ia juga memberikan ruang kepada ibu bapa untuk meluangkan masa yang bermakna bersama orang tersayang.Beliau memberitahu, pengalaman yang diperolehi dapat mengukuh ikatan bersama anak-anak yang sering leka dengan aktiviti sekolah, gajet dan aktiviti kokurikulum.'Oleh itu, kembara di jalan raya menawarkan peluang untuk keluarga menikmati masa bersama dengan yang tersayang. Anak-anak mengingati bagaimana kita membuat mereka rasa dihargai."Detik-detik ringkas seperti menyanyi di dalam kereta, berkongsi cerita atau menikmati percutian singkat di mana-mana destinasi pelancongan boleh meninggalkan kesan yang berkekalan di hati mereka," jelasnya.Zaid turut menggalakkan ibu bapa untuk mengurus jangkaan dengan kekal fleksibel dan sabar, terutamanya apabila bercuti bersama anak-anak kecil.Ini kerana katanya, kelewatan, keresahan atau keperluan yang tidak dijangka harus dilihat bukan sebagai gangguan, tetapi sebagai peluang untuk mempraktikkan empati dan kekal tenang."Apabila kita memulakan perjalanan dengan lebih sabar, kita sedang mengajar anak-anak kita daya tahan dan kestabilan emosi, pelajaran yang akan kekal bersama mereka selepas cuti berakhir," katanya.