SEREMBAN - Siasatan kes penemuan mayat seorang wanita di dalam beg di sebuah rumah di Kampung Batu 4 di Jalan Pedas-Linggi, Rembau hampir lengkap.Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Muhammad Idzam Jaafar berkata, setakat ini hanya dua suspek lelaki berusia 41 dan 51 tahun yang ditahan dalam kes ini."Tiada lagi suspek yang akan ditahan setakat ini, kemungkinan perbuatan itu mungkin suspek utama saja yang lakukan," katanya dihubungi pemberita pada Isnin.Sementara itu, beliau memberitahu polis telah membawa suspek ke tempat penemuan mayat terbabit pada malam Ahad untuk melengkapkan bukti siasatan.Bagaimanapun katanya, tiada barangan yang dirampas di lokasi."Siasatan masih sedang dilakukan dan kami mahu memastikan tiada kelompongan sebelum diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri,"katanya.Mengulas mengenai Ujian asid deoksiribonukleik (DNA), beliau berkata, kebiasaannya keputusannya mengambil masa dua hingga tiga bulan sebelum diperolehi.Namun jelas beliau, pihaknya cuba untuk meneruskan pendakwaan walaupun tiada keputusan DNA bagi pengesahan identiti dengan mengambil kira keterangan suspek, saksi dan hasil siasatan."Ini kes yang mendapat perhatian, kami cuba teruskan pendakwaan. Bagaimanapun, kami perlukan juga laporan DNA itu bagi mengukuhkan pendakwaan," katanya.Sementara itu tinjauan Sinar Harian di lokasi malam Ahad mendapati, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz yang dipercayai membawa suspek utama dilihat memasuki kawasan lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 malam.Bagaimanapun, wartawan yang berada di lokasi tidak dibenarkan mengambil gambar serta dinasihatkan supaya tidak berada di lokasi.Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita di dalam beg di rumah terbabit pada 18 Disember lalu dikaitkan dengan seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.Susulan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing di Melaka termasuk suspek di Genting Sempah, Bentong, Pahang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Sehingga kini Identiti wanita itu belum dapat disahkan berikutan keadaan mayat yang sudah mereput dan dipercayai meninggal dunia melebihi tiga hari.Ends..