Penunggang motosikal parah, nahas tujuh kenderaan termasuk ambulans

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah ambulans, dua kereta dan empat motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Usahawan 6 Setapak di sini pada Isnin.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mendapati sebuah kereta dari arah Wangsa Maju sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau."Pada masa sama, ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang datang dari arah Jalan Kilang dengan lampu kecemasan dan siren diaktifkan telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan kereta tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Mohd Zamzuri berkata, akibat perlanggaran itu, ambulans terbabas lalu melanggar beberapa buah motosikal serta sebuah lagi kereta yang sedang berhenti di persimpangan berkenaan."Ambulans tersebut tiada pesakit dan sedang dalam perjalanan bagi memberi respons untuk mengambil pesakit di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia," katanya.Beliau berkata, seorang lelaki berusia 40 tahun mengalami patah tulang paha kaki kanan akibat kemalangan itu."Kemalangan turut melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang memandu sebuah kereta, seorang lelaki berusia 34 tahun memandu ambulans bersama seorang penumpang lelaki berusia 24 tahun."Empat lelaki yang menunggang motosikal serta seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang merupakan pembonceng," katanya.Menurutnya, mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan seperti luka dan sakit di bahagian badan."Seorang wanita berusia 42 tahun yang memandu sebuah kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Kesemua mangsa telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur," katanya.Beliau berkata, semakan terhadap rakaman video kejadian yang tular di media sosial mendapati van ambulans berkenaan sememangnya memasang siren dan lampu kecemasan."Pemandu ambulans perlu mengambil langkah memperlahankan kenderaan ketika menghampiri dan memasuki persimpangan lampu isyarat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya.Mohd Zamzuri berkata, setakat ini dua penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu masih belum membuat laporan polis kerana sedang mendapatkan rawatan."Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan."Saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.