Permohonan DNAA Ahmad Zahid selaras peruntukan undang- undang – AGC

SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan bahawa satu permohonan semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Menurut AGC dalam satu kenyataan, permohonan itu dibangkitkan susulan laporan sebuah portal, Free Malaysia Today (FMT) pada Isnin berhubung tindakan undang-undang yang mencabar keputusan DNAA berkenaan.Jabatan itu memaklumkan bahawa permohonan semakan kehakiman tersebut membangkitkan isu berkaitan kemajuan dan hasil siasatan yang dirujuk ketika permohonan DNAA dikemukakan kepada Mahkamah."Perkara ini melibatkan persoalan penting berkaitan keyakinan awam serta pentadbiran keadilan yang wajar," menurut kenyataan itu pada Isnin.Jabatan Peguam Negara turut menegaskan bahawa keputusan untuk memohon DNAA dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang dan berdasarkan keadaan semasa pada ketika itu, termasuk keperluan untuk menjalankan siasatan lanjut.Menurut kenyataan itu lagi, keputusan tersebut dibuat dalam kerangka undang-undang sedia ada serta mengambil kira keperluan proses penyiasatan yang belum dimuktamadkan sepenuhnya pada waktu berkenaan.Sehubungan itu, AGC memaklumkan bahawa memandangkan perkara tersebut kini berada di bawah pertimbangan Mahkamah, pihaknya tidak akan mengulas lanjut berhubung merit permohonan semakan kehakiman berkenaan."Jabatan ini akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses pengadilan, menangani perkara ini melalui saluran undang-undang yang ditetapkan, serta mematuhi sebarang arahan atau keputusan Mahkamah," menurut kenyataan itu.Terdahulu, seorang peguam seperti dilaporkan FMT telah memfailkan permohonan untuk mendapat kebenaran (leave) memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan siasatan susulan DNAA diberikan kepada Ahmad Zahid dalam kes Yayasan Akalbudi lebih dua tahun lalu.Permohonan itu difailkan oleh Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim.Beliau dilaporkan berkata, tindakan tersebut tidak mencabar budi bicara Peguam Negara untuk membuat DNAA, malah tidak berhasrat untuk menentukan hasil pendakwaan terlebih dahulu.Sebaliknya, beliau menegaskan permohonan itu bertujuan untuk meminta penjelasan, akauntabiliti dan penyelesaian yang tepat masa susulan alasan yang dinyatakan kepada umum ketika DNAA dibuat iaitu bahawa siapa-siapa siasatan lanjut yang lebih menyeluruh diperlukan.Syed Amir turut menyatakan bahawa lebih setahun telah berlalu sejak DNAA diberikan, namun tiada sebarang kemas kini awam diberikan sama ada siasatan tersebut telah diselesaikan atau bila pendakwaan mungkin diteruskan.