Letupan di Nilai: Polis temui peranti bahan letupan buatan sendiri

NILAI – Polis Negeri Sembilan mengesahkan penemuan beberapa objek disyaki peranti bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) susulan kejadian letupan yang berlaku di kawasan Desa Palma, di sini, pada Isnin.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam melalui panggilan NG MERS 999 kira-kira jam 7.08 pagi berhubung kewujudan objek meletup serta paku yang bertaburan di kawasan berkenaan."Sepasukan polis segera digerakkan ke lokasi kejadian dan hasil maklumat saksi awam mendapati letupan dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan."Pemeriksaan lanjut ke atas rumah-rumah berhampiran telah membawa kepada penemuan tiga objek disyaki IED di dalam salah sebuah rumah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Menurutnya, kira-kira 250 meter dari lokasi kejadian, polis turut menemui kenderaan yang disyaki menjadi punca letupan terbabit.Jelas beliau, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan turut menemui beberapa peralatan dan bahan yang disyaki digunakan dalam kejadian itu."Kes kini disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan."Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan," katanya.Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan."Polis akan terus memantau perkembangan kes dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,"katanya.