Velfire, BMW antara empat kenderaan musnah di parkir medan selera

BUKIT MERTAJAM – Empat kenderaan musnah dalam satu kebakaran di kawasan parkir sebuah medan selera di Jalan Song Ban Kheng di sini pada Isnin.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.27 petang itu, kebakaran melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X5 yang masing-masing mengalami kemusnahan dianggarkan sebanyak 95 peratus.Menurutnya, dua buah kenderaan sedan jenis Toyota Camry turut terjejas dalam kejadian berkenaan dengan anggaran kemusnahan sebanyak 30 peratus dan 15 peratus."Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.27 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai."Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.38 petang dan mendapati kebakaran melibatkan empat buah kenderaan di kawasan parkir premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Tambah beliau, komander operasi membuat penilaian awal dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum melaksanakan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran."Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.46 petang dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.04 petang sebelum operasi ditamatkan selepas kerja-kerja ‘overhaul’ selesai dijalankan."Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut," ujarnya.John Sagun berkata, operasi pemadaman melibatkan enam anggota termasuk penyelia dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Bandar Perda."Turut membantu operasi ialah PBS Padang Lalang, PBS Cross Street dan PBS Berapit selain kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM)."Lokasi kejadian kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya lagi.Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah rumah kedai tiga tingkat di Lorong Macalister, George Town musnah kira-kira 80 peratus dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku pada Isnin petang.John Sagun berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.55 petang itu, kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai kelas A berkeluasan kira-kira 50 x 20 kaki persegi dan berlaku di tingkat tiga yang dijadikan sebagai tempat sembahyang (tokong).Menurut beliau, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 petang sebelum jentera dari BBP Lebuh Pantai bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai."Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.05 petang dan mendapati kebakaran telah dipadamkan oleh PBS sebelum ketibaan PKO."Komander operasi kemudiannya menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman secara ofensif dengan kelengkapan PPE lengkap bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke bahagian lain bangunan," ujarnya.Beliau menambah, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.56 petang sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.54 petang selepas kerja-kerja ‘overhaul’ selesai dijalankan."Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut."Lokasi kejadian seterusnya diserahkan kepada FIO bagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran," katanya.Ends.