SHAH ALAM - UMNO Selangor menegaskan tidak akan menyokong sebarang cadangan persempadanan semula pilihan raya yang boleh menjejaskan kepentingan kawasan majoriti Melayu di negeri ini.Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, kebimbangan itu timbul susulan andaian terdapat pihak yang mahu menambah kerusi bukan Melayu menerusi proses persempadanan semula berkenaan."Kita tidak akan sokong jika persempadanan ini menyebabkan kawasan majoriti Melayu terjejas atau diketepikan," katanya ketika ditemui selepas sesi Dialog Awam Veteran UMNO Selangor di sini pada Isnin.Megat Zulkarnain berkata, kawasan Parlimen seperti Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang tidak wajar dianggap tidak relevan atau dikorbankan atas alasan perubahan demografi.Beliau menegaskan, jika persempadanan semula dilaksanakan, ia perlu dibuat secara menyeluruh melibatkan semua 22 kerusi Parlimen di Selangor dan bukan tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja."Jangan nanti ada tanggapan kawasan Melayu ini tak perlu, ini sesuatu yang UMNO Selangor tidak boleh terima," katanya.Bagaimanapun, Megat Zulkarnain berkata, berdasarkan bacaan peribadinya, proses persempadanan semula tidak akan berlaku dalam masa terdekat dan hanya dijangka dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).Beliau menjelaskan, pelaksanaan persempadanan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, selain banyak parti politik dilihat masih belum bersedia menghadapi perubahan kawasan pilihan raya.Dalam pada itu, katanya, UMNO Selangor tetap membuat persediaan awal dengan meminta kepimpinan bahagian menilai kawasan masing-masing khususnya yang mencatat jumlah pengundi tinggi."Ada kawasan yang jumlah pengundi sudah melebihi 300,000 orang dan ini perlu diambil kira sekiranya persempadanan dilakukan kelak," katanya.