PUTATAN - Sebanyak lapan rumah di perkampungan atas air musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih, di sini pada Isnin.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.35 tengah hari. Katanya, seramai 29 anggota terdiri daripada BBP Putatan, BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu di kejarkan ke lokasi kejadian."Menurut laporan, kebakaran melibatkan sembilan rumah atas air jenis tidak kekal. Daripada jumlah tersebut, lapan rumah terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi terbakar 10 peratus."Tiada mangsa terlibat dilaporkan dalam kejadian tersebut dan operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan menggunakan sumber air dari jentera, tangki air dan pili bomba berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Tambahnya, operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.51 petang selepas kawasan dipastikan selamat.