Titah Adendum: Pemuda UMNO Pahang kecewa sikap segelintir pemimpin DAP

KUANTAN - Pemuda UMNO Pahang kecewa dengan sikap segelintir pemimpin parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam isu berkaitan Titah Adendum.Ketua Penerangannya, Mustaqim Zakaria berkata, tindakan sedemikian tidak membantu dalam meredakan keresahan ahli UMNO berhubung keputusan mahkamah itu.Menurutnya, Pemuda UMNO Pahang tidak mempersoalkan keputusan mahkamah tapi kecewa dan marah dengan sikap seorang dua pemimpin DAP yang seolah-olah meraikan keputusan berkenaan."Prinsip kedaulatan undang-undang adalah perkara yang sentiasa kita junjung tinggi, itu tidak boleh dipersoalkan."Namun, apabila ada pemimpin DAP secara terbuka memuat naik kenyataan berunsur sindiran dan memperlekeh susulan keputusan tersebut, ia amat tidak boleh diterima," katanya melalui kenyataan pada Isnin.Mustaqim menegaskan, tindakan itu bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik malah gagal menghormati semangat dan disiplin Kerajaan Perpaduan.Sementara itu dalam kenyataan sama, Ketua Pemuda UMNO Lipis, Hafizul Rahman Muhamad mengingatkan bahawa DAP dan UMNO berada dalam kerajaan sama ketika ini.Justeru katanya, sebarang kenyataan bersifat menghina, menyindir secara terbuka atau meraikan isu sensitif melibatkan pimpinan parti rakan adalah tidak wajar, tidak bertanggungjawab dan mencabar keharmonian kerajaan."Ingin kami tegaskan bahawa UMNO bukan rakan kosmetik, bukan parti tempelan juga bukan untuk dipijak dan diperkecilkan sesuka hati oleh mana-mana ahli parlimen DAP."Menghormati keputusan mahkamah tidak memberi lesen untuk memperlekeh atau mempermainkan isu perundangan negara," katanya.Hafizul berkata, perbezaan pandangan politik tidak menghalalkan sikap angkuh dan tidak beradab, apatah lagi dalam kalangan rakan kerajaan yang memikul tanggungjawab bersama kepada rakyat.Tegasnya, UMNO parti tunjang dengan akar umbi, sejarah perjuangan dan mandat rakyat yang besar dalam memastikan kestabilan serta kelangsungan Kerajaan Perpaduan."Kerajaan Perpaduan tidak dibina atas sindiran, tidak dipertahankan dengan penghinaan dan tidak akan dihormati rakyat jika ada pihak yang memilih keangkuhan berbanding adab."Hormati rakan kerajaan atau bersedialah menerima reaksi akar umbi," katanya.