Titah Adendum: UMNO Pahang kecam kenyataan biadap Yeo Bee Yin

KUANTAN - UMNO Pahang mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak.Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak wajar malah mencerminkan keangkuhan politik serta ketandusan adab dan sensitiviti yang menyentuh perasaan banyak pihak terutamanya ahli keluarga bekas Perdan Menteri itu serta ahli-ahli UMNO khususnya.Menurutnya, keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan pentas sorakan politik murahan."Meraikan keputusan tersebut dengan ejekan dan sindiran merupakan satu perbuatan yang hanya menampakkan ketidakmatangan dan kekeringan nilai seorang wakil rakyat."Jika mahu berkawan, berkawanlah dengan adab dan keikhlasan, bukan dengan ejekan kosong yang akhirnya menyebabkan diri yang begitu angkuh tenggelam dalam kesombongannya sendiri," katanya melalui kenyataan pada Ahad.Wan Rosdy yang juga Pengerusi UMNO Pahang berkata, pihaknya akan terus berdiri teguh, tidak goyah dan tidak sesekali berundur dalam memberikan sokongan serta meneruskan usaha mencari keadilan untuk bekas perdana menteri itu.Terdahulu, Wan Rosdy berkongsi hantaran di Facebook dengan menulis, 'Jika nak berkawan, berkawan betul-betul. Jika nak berlawan, kita berlawan betul-betul," dipercayai sebagai respon kepada kenyataan Ahli Parlimen Puchong itu.