PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menjelaskan dakwaan bahawa penaja iaitu Bank Islam bakal menarik diri daripada menaja badan induk itu susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan bahawa pihak penaja tersebut ada menghubungi FAM dan menghantar surat rasmi, namun ia sekadar meminta penjelasan lanjut mengenai situasi sebenar yang berlaku.Menurutnya, pihak Bank Islam mengambil pendekatan untuk menunggu sehingga segala proses perundangan selesai sepenuhnya sebelum membuat sebarang ketetapan lanjut."Memang apabila kes ini berlaku, Bank Islam ada menghubungi kita. Ia lebih kepada mahu mengetahui apa yang sebenarnya berlaku."Kita juga telah mengadakan siri perjumpaan bersama mereka. Setakat ini, Bank Islam akan menunggu keputusan terakhir kerana proses di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) belum selesai sepenuhnya."Sebab itu saya tegaskan, kita perlu jalankan proses ini sampai berakhir. Setakat ini tiada apa-apa perubahan dengan Bank Islam, cuma belum ada keputusan muktamad," katanya.Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus kononnya institusi perbankan itu mahu menarik diri menaja FAM selepas logo bank tersebut sudah tidak kelihatan di laman sesawang badan induk bola sepak tersebut.Mengulas lanjut, Mohd Yusoff menjelaskan bahawa pertanyaan daripada pihak penaja adalah lumrah dalam situasi sebegini bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai status isu berkenaan."Semuanya lebih kepada faktor mahu tahu status. Secara rasmi (tarik diri) tiada."Setakat ini cuma pertanyaan-pertanyaan mengenai apa yang berlaku. Cuma Bank Islam sudah menghantar surat rasmi untuk meminta penjelasan daripada FAM," ujarnya.Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan dakwaan pemalsuan dokumen.FAM ketika ini telah membawa kes tersebut ke CAS dan keputusan dijangka diketahui pada Mac depan.