Arsenal, City jangan perlekeh Liverpool

LEGENDA Manchester United, Wayne Rooney memberi amaran kepada dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan Manchester City supaya tidak sesekali memandang rendah kemampuan Liverpool dalam perebutan takhta liga musim ini.Walaupun Liverpool kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, Rooney menegaskan bahawa skuad kendalian Arne Slot itu tidak boleh disingkirkan daripada senarai pencabar kejuaraan.Liverpool, yang memenangi EPL dengan kelebihan 10 mata pada musim pertama Slot di Anfield, bergelut untuk mengekalkan prestasi cemerlang tersebut pada awal musim ini.Prestasi merudum dari akhir September hingga November seakan-akan menutup peluang The Reds untuk mempertahankan gelaran.Bagaimanapun, Rooney percaya kebangkitan Liverpool selepas kekalahan mengejut 1-4 kepada PSV dalam Liga Juara-Juara membuktikan mereka sudah kembali ke landasan sebenar."Nampak seolah-olah Arsenal dan Man City akan memecut meninggalkan pasukan lain di puncak liga sekarang."Namun bagi Liverpool, jika mereka mendapat rentak kemenangan dan menang beberapa perlawanan berturut-turut, anda tidak boleh menolak peluang mereka. Jika mereka mendapat sokongan padu, mereka mampu memberikan saingan."Saya tidak akan menolak nama mereka (daripada perlumbaan kejuaraan), walaupun saya rasa Arsenal dan City adalah dua pasukan yang akan memisahkan diri di kelompok atas," kata Rooney.Kemenangan sukar ke atas Tottenham Hotspur pada Ahad lalu meletakkan Liverpool di tangga kelima liga menjelang Krismas. The Reds kini mencatatkan rekod enam perlawanan tanpa kalah, satu isyarat jelas bahawa mereka sedang memburu kelompok atasan yang turut dihuni oleh Chelsea dan Aston Villa.