SHAH ALAM – Hubungan rapat antara seorang murid pendidikan khas dengan gurunya dari Sekolah Kebangsaan (SK) Peremba, Alor Setar, meruntun hati ramai apabila murid berkenaan dilihat berat hati untuk berpisah pada hari terakhir persekolahan.Rakaman video yang tular memaparkan Muhammad Airiel Zafran Muhammad Hanif, 12, mencium tangan gurunya berkali-kali sambil menangis, seolah-olah tidak mahu berpisah dengan insan yang banyak membimbing dan menyokongnya sepanjang tempoh persekolahan.Ibunya, Noor Asfarina Shaperi,37, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu menghidap autisme dan gangguan kurang daya tumpuan serta hiperaktif (ADHD) mempunyai hubungan sangat rapat dengan guru terbabit, yang dianggap seperti ibu kedua di sekolah."Cikgu Asmah memang mak nombor dua Airiel dekat sekolah. Kalau ada tantrum atau emosi tidak stabil, Cikgu Asmah yang akan memujuk, orang lain kurang sikit dapat memujuknya."Kalau Cikgu Asmah pujuk, anak saya akan mendengar katanya sebab itu dalam video Airiel nampak betul-betul sedih," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.Sebelum ini, video hari terakhir persekolahan Muhammad Airiel bersama guru yang dikongsikan menerusi akaun Tik Tok @ammarsyahar itu meraih 2.8 juta tontonan dengan 276,900 tanda suka.Noor Asfarina mengakui, sokongan serta kefahaman guru-guru sekolah itu terutamanya Cikgu Asmah terhadap keperluan anaknya menjadikan hubungan mereka semakin rapat, sekali gus membantu perkembangan emosi dan pembelajaran murid berkenaan.Tambahnya, Airiel pernah berdepan kesukaran bertutur sehingga perlu menjalani terapi, namun dengan dorongan dan bimbingan guru, dia kini mampu menyanyi serta membuat persembahan di sekolah."Alhamdulillah, Airiel juga meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan iaitu 10A, 1B, 1C, malah lima subjek dia dapat markah penuh 100 peratus," kongsinya lagi.Sementara itu, Nor Asmah Yaacob yang telah berkhidmat lebih dua dekad di sekolah berkenaan berkata, murid itu sudah berada di bawah jagaannya sejak darjah satu dan menjadi antara pelajar yang paling rapat dengannya.Menurut beliau, murid autisme mempunyai cara komunikasi dan emosi tersendiri, justeru guru perlu memahami dunia mereka agar dapat mendidik dengan lebih berkesan.Mengimbas momen pada hari terakhir sekolah itu, Nor Asmah memberitahu, dia sebenarnya tidak dapat menahan kesedihan terpaksa berpisah dengan anak-anak muridnya, namun cuba mengawal perasaan itu."Saya kawal diri supaya tidak menangis kerana tahu Airiel seorang yang sensitif. Jadi, kalau saya menangis nanti takut Airiel menangis lagi tanpa henti," katanya.Beliau yang mula berkhidmat sebagai guru Matematik sebelum beralih ke bidang pendidikan khas berkata, keputusan itu terbukti sesuai dengan jiwanya."Airiel risau kami tidak dapat berjumpa lagi selepas ini. Jadi, saya kata nanti saya lambai dari jauh sebab sekolah menengah akan dimasukinya terletak berdekatan sekolah ini," katanya.