MERSING – Seorang pembantu khidmat am di Sekolah Kebangsaan (SK) Nitar di sini yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Sungai Lenggor bersama dua saudaranya ditemukan lemas pada tengah malam Selasa.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas bagi mencari orang hilang di Loji Air Felda Nitar 2 pada jam 5.43 petang.Menurutnya, sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu, seramai 18 anggota digerakkan ke lokasi melibatkan 13 anggota dari BBP Mersing dan lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Kluang, dengan bantuan lima anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)."Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kejadian lemas melibatkan seorang lelaki Melayu dikenali sebagai Mohamed Rizzurin Md Noh, 37, dari Felda Nitar 2."Operasi pencarian awal dilakukan di sekitar kawasan secara water surface, diikuti penggunaan empat bot fiber berkekuatan lapan orang awam bersama enam anggota PPDA yang diketuai Penolong Penguasa Bomba, Abdul Mu'iz, serta seorang saksi yang menaiki bot BP O 49."Pencarian diteruskan sehingga mangsa berjaya ditemukan pada jam 12.49 tengah malam oleh anggota PPDA yang membuat selaman di lokasi tersebut," katanya.Abdul Muiz berkata, mayat mangsa yang difahamkan baru bertukar ke SK Nitar 2 pada Julai lalu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Mersing untuk tindakan selanjutnya.Katanya, dua lagi mangsa iaitu Muhammad Zul Hafeez Azman Adi, 29, dan Shahrul Izwan Sabaruddin, 36, pula ditemukan dalam keadaan selamat."Setelah memastikan keadaan terkawal, operasi ditamatkan pada jam 1.57 pagi (Selasa)," ujarnya.