SHAH ALAM - Suami kepada Ismanira Abdul Manaf, Zaim Ikhwan Zahari memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan semula berhubung keputusan mahkamah dalam tempoh tiga hari.Menurut Zaim Ikhwan, tempoh rayuan terhadap keputusan itu masih terbuka dan akan digunakan sepenuhnya oleh pihak keluarga."Saya akan membuat rayuan semula dan tempoh rayuan terhadap keputusan itu boleh dibuat dalam tempoh tiga hari ini," ujarnya ketika ditemui Sinar Harian di luar perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini pada Selasa.Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan Selasa sebagai tarikh keputusan permohonan Ismanira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.Bagaimanapun, harapan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin itu untuk pulang ke pangkuan keluarga tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun kerana mengabaikan kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.Hakim, Datuk Aslam Zainuddin tidak menerima rayuan Ismanira Abdul Manaf, 30, selaku perayu supaya dilepaskan sementara sehingga rayuan terhadap sabitan dan hukuman kes berkenaan didengar.Pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman, manakala perayu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.Ismanira sebelum ini didapati bersalah atas pertuduhan pengabaian terhadap anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dan diperintahkan menjalani hukuman penjara serta-merta.Pada 31 Oktober, Hakim Dr Syahliza Warnoh mendapati ibu kepada dua anak itu bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun.Beliau memerintahkan wanita itu dibawa ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.Menurutnya, tertuduh gagal menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya menangguhkan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.